Bicara Fuad Latip: Petua melembutkan Hati Anak
Melembutkan Hati Anak
Seminggu yang lepas, mak saya berada di rumah saya selama seminggu sebelum beliau pergi ke rumah kakak saya. Kesempatan yang ada, saya gunakan sepenuhnya untuk menimba ilmu keibubapaan daripada mak saya. Saya ingin tahu bagaimana untuk melembutkan hati anak.
Saya mempunyai 10 orang adik beradik (4 lelaki dan 6 perempuan). Saya merupakan yang bongsu. Saya bertanya kepada mak saya tentang bagaimana mak dan arwah ayah membesarkan anak-anak beliau.
Dalam keadaan yang kekurangan, beliau mampu menjaga anak-anak dengan baik dan menjadi orang yang baik-baik. Alhamdulillah semua 10 orang menjadi manusia yang taat, tidak mempunyai masalah sesama adik beradik, sentiasa mengasihi dan tolong menolong dan sentiasa mengasihi mak dan arwah ayah.
Mak saya memberikan petua yang tidak pernah diceritakan. Apakah petuanya yang dirahsiakan selama ini?
Setiap kali menyedia dan memasak makanan untuk keluarga, mak akan membaca “Ya Rahman, Ya Rahim” ketika memasak dan menyuap makanan ke dalam mulut anak-anak beliau.
Mak menambah lagi, ketika menyedia dan menyuap makanan itu, beliau hanya ingat “hanya Engkau ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang yang mampu memberikan anak aku kenyang dan sihat. Terima kasih Allah kerana memberikan rezeki kepada anak-anak aku“. Itulah kata-kata mak di dalam hati ketika menyuapkan anak-anak mak makan. Rupanya mak terlebih dahulu mengamalkan “terima kasih Allah SWT” sejak dulu lagi.
Mak kata lagi, mak juga beri kucing dan ayam mak makan dengan menyebut “Ya Rahman, Ya Rahim“. Kucing-kucing dan ayam-ayam peliharaan mak semuanya jinak-jinak dan tidak menyusahkan tuan rumah (mak).
Wah! sungguh menarik rahsia yang mak berikan kepada saya.
Benarlah, selalunya orang-orang yang memiliki kesedaran tertinggi ini hidup mereka tenang. Patutlah arwah ayah dan mak, walaupun mereka susah namun mereka mampu membesarkan 10 orang anak-anak penuh dengan ketenangan. Tidak merungut, tidak mengeluh dan sentiasa rajin berusaha dan beribadat kerana mereka yakin benar segala-galanya adalah ketentuan Ilahi dan doa dengan sabar serta solat mampu mengubah takdir kehidupan.
Terima kasih Allah. Terima kasih mak. Al-fatihah untuk arwah ayah.
***
Apa kata selain daripada anak-anak kita, kita cuba kepada suami atau isteri pula untuk melembutkan hati mereka. Sesekali suapkan mereka makan sambil menyebut di dalam hati “Ya Rahman, Ya Rahim“.
Jangan lupa juga ketika menyediakan makanan samada memasak, menghidang makanan atau juga membancuh air. InshaAllah lembut hati suami atau isteri. Maka ketika suami meminta isteri membancuh air, janganlah merungut. Inilah peluang terbaik untuk melembutkan hati suami
Hikmah mencari Cinta Ilahi yg hakiki.
MAHA SUCI ALLAH: Pencarian Mencari Cinta Allah Diperkenankan oleh MU.
Untuk teman2 pengunjung blog ini, tak dapat saya gambarkan kegembiraan hati ini bila pencarian saya dibimbing Allah ke arah yg saya rindukan. Artikel ini membuka jiwa saya yg selama ini sentiasa mencari erti ikhlas dan redha menjadi Hamba ALLAH. Mulai Detik ini jadikanlah saya dan sesiapa yg menemui dan membaca blog ini sentiasa menjadi kekasihMU YA ALLAH. KEMBALIKANLAH KAMI KEPADA MU DGN JIWA KAMI YG TENANG . Ameen
Faktor Kuasa Redha
Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
Al-Quran: Al-AnFaal Ayat 2
Jika saudara ‘google’ nama Fuad Latip di internet, saudara pasti akan mendapati keputusan carian penuh dengan menceritakan tentang penglibatan saya di dalam dunia perniagaan internet. Pelbagai kajian dan pembinaan sistem yang saya lakukan sejak dahulu untuk perniagaan internet saya dan ia masih berjalan.
Rezeki yang Allah beri adalah terlalu tinggi untuk saya, isteri dan anak. Alhamdulillah sejak dahulu rezeki datang tanpa pernah kekeringan wang. Namun rezeki yang datang mudah sahaja kehabisan. Ada sahaja perkara yang memerlukan wang.
Saya menyedari akhirnya di mana keberkatan Allah adalah segala-galanya. Rezeki yang mempunyai keberkatan datangnya daripada Redha Allah. Allah memberikan rezeki disebabkan kita berusaha untuk mendapatkannya kerana Allah tidak pernah menzalimi diri kita. Tetapi redha atau tidak merupakan satu perkara yang berbeza. Kita mendapat rezeki, tetapi adakah ia diberkati atau tidak? Di situlah terletaknya redha Allah.
Rezeki yang saya terima bukanlah rezeki yang haram. Tetapi keberkatan dan keredhaan itu dinilai dari segi berapa jauh atau dalamnya keikhlasan kita dengan Allah. Kita mungkin ikhlas sesama manusia (perniagaan yang tiada penipuan) tetapi bagaimana ikhlasnya ibadah kita dengan Allah?
Ketika dulu saya bersolat kerana solat adalah wajib. Saya berdoa kerana saya ingin Allah berikan rezeki yang banyak pada saya, umur yang panjang, hidup yang bahagia dan sebagainya.
Rupanya ibadah saya tidak ikhlas. Saya melakukan ibadah kerana sesuatu iaitu kerana solat itu wajib dan juga inginkan sesuatu hajat seperti murah rezeki, panjang umur dan sebagainya. Semua itu menjadi lebih utama berbanding saya ikhlas kerana Allah SWT. Bukan kerana wujudnya rasa menCINTAI Allah.
Jika ditanya kepada diri kita samada kita mencintai Allah atau tidak, pasti jawapan yang diterima adalah kita menyintai Allah. Namun jika dinilai dari tingkah laku dan juga dari dalam jiwa kita, perasaan CINTA Allah itu belum tentu 100% cinta.
Adakah hati kita gementar atau berdebar apabila disebut nama Allah?
Bagaimana perasaan orang bercinta apabila disebut nama kekasih hati? Berdebar bukan. Begitulah jadinya iaitu berdebar hati kita apabila kita benar-benar mempunyai perasaan CINTA pada Allah. Apabila disebut nama Allah, gementar dan berdebar hati kita.
Apabila dibaca ayat-ayat Allah yang menyatakan kekuasaan Allah, pasti bertambah lagi cinta kita pada Allah.
Ia seumpama diri kita yang sedang jatuh cinta. Jika kita mendengar cerita berkaitan orang yang kita sayang, membaca surat cinta yang dikirimkan oleh yang tersayang, melihat barangan yang diberi oleh kekasih kita sudah pasti kita akan berdebar mengenangkan kekasih kita. Seharusnya juga perasaan kita kepada Allah sedemikian rupa.
Faktor kuasa Redha adalah keikhlasan. Keikhlasan datang dari CINTA. Hanya apabila wujudnya perasaan CINTa pada Allah, maka kita akan lakukan apa saja ikhlas kerana Allah.
Dan sesungguhnya CINTa itu dapat dikukuhnya HANYA DENGAN BERKOMUNIKASI. Komunikasi dengan Allah bukan hanya berdoa, bukan hanya di dalam solat tetapi seluruh kehidupan kita ini. Setiap apa yang kita lakukan, kita ceritakan kepada Allah. Tiada lagi ‘mind chat’ di dalam kepala kita. Yang ada hanyalah komunikasi dengan Allah.
Apabila CINTA kepada Allah telah kukuh, kita akan melakukan segala-galanya IKHLAS hanya kerana Allah. Dan akhirnya pasti Allah akan anugerahkan REDHANYA kepada kita. Orang yang IKHLAS tidak akan pernah kecewa. Semua yang kita lakukan akan diserahkan dan bertawakal kepada Allah. Redha dengan ketentuan yang Allah telah berikan.
Redha orang yang beriman adalah Redha yang Aktif. Bukan redha yang pasif. Inilah ciri-ciri orang yang beriman iaitu “dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”
Sejak hari itu, saya sering membaca doa memohon daripada Allah agar wujudkan rasa cinta dalam hati ini kepada Allah.
“Ya Allah, Yang Maha Menyintai, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang, Yang Memiliki Segala Cinta, Yang Menggenggam Segala Kasih Sayang, aku memohon daripadaMu ya Allah, agar kau wujudkan rasa cinta kepadaMU dalam jiwaku ya Allah, semoga jiwa ini tenang dengan merasakan cinta kepadaMu ya Allah. Ameen ya Rabbal alamin”
Hikmah sujud dlm solat
Membentulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
Membetulkan pundi peranakan yang jatuh
Melegakan sakit hernia. (burut)
Mengurangkan sakit senggugut ketika haid
Melegakan paru-paru daripada ketegangan.
Mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.
Kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh.
Meringankan bahagian pelvis.
Memberi dorongan supaya mudah tidur.
Menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun dari sujud.
Pergerakan otot itu menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik, secara automatik memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik.
Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.
Mengurangkan kegemukan
Pergerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ketempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut (convulsions).
Organ terpenting iaitu otak manusia menerima banyak bekalan darah dan oksigen. Ini mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepamkan darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya.
Dari segi psikologi pula, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Maha Pencipta sekalli gus mengikis sikap sombong, riak, takbur dan sebagainya.
Dari segi perubatan kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentaliti seseorang.
Menurut kajian, terdapat beberapa urat saraf dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah sedangkan setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal dan sempurna
Wuduk, solat: Terapi yg dipinggirkan
Hikmah mengekalkan wuduk
Oleh Zahari Hasib
UMUMNYA kita beranggapan wuduk wajib apabila hendak mendirikan solat saja atau dengan lain perkataan, berwuduk itu hanya pada saat kita akan menunaikan sembahyang, tanpa wuduk sudah tentu tidak boleh menunaikan solat.
Bagaimanapun tidak ada pula yang dapat merasakan wuduk perlu menjadi suatu daripada kebiasaan, kerana kita kurang mengetahui bahawa mengekalkan wuduk mempunyai banyak hikmah dan pahala tersembunyi.
Menurut riwayat yang sahih, Nabi Muhammad SAW adalah contoh nabi yang paling banyak mengambil wuduk sebelum melakukan sesuatu pekerjaan. Khalifah Umar al-Khattab pun sering berwuduk sebelum melangkah untuk memulakan perjalanan. Sebaik saja dilantik menjadi khalifah, Umar al-Khattab terus mengambil wuduk lalu mendirikan solat sunat dua rakaat.
Saidina Abu Bakar seorang khalifah Islam yang terbilang pernah ditanya seseorang mengenai perbuatannya mengambil wuduk pada saat akan menunggangi unta, lalu Saidina Abu Bakar menjawab: “Dengan berwuduk ketika akan melakukan perjalanan, dengan izin Allah kita akan terhindar daripada sebarang musibah dan kemalangan.”
Banyak riwayat serta hadis yang menerangkan betapa besarnya fadilat dan keberkatan wuduk, sehingga kita perlu mengakui pentingnya mengekalkan wuduk dan tidak hanya menjadikannya kewajipan untuk menunaikan solat.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang berwuduk dan dalam melakukan wuduknya itu dia berserah semata-mata hanya kepada Allah, lalu dia pula mematuhi segala rukun tertibnya yang betul, maka nescaya akan keluarlah segala dosa-dosanya daripada seluruh jasad hatta sekalipun dosa yang ada tersangkut pada celah kukunya pun akan mengalir jatuh bersama air wuduk itu.” (Hadis riwayat Muslim dan an-Nasai)
Tidak dinafikan cabaran bagi kita untuk bangun pagi dan berwuduk bagi menunaikan solat Subuh kerana lebih enak meneruskan tidur tetapi Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang berwuduk dengan cara sempurna di awal pagi yang dingin maka pahala baginya dua kali ganda.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Hadis sahih juga menerangkan bahawa kebiasaan mengambil wuduk pada tiap hari lima kali (kerana keperluan untuk solat lima waktu untuk sehari semalam) mempunyai manfaat yang baik dari segi kesihatan.
Berwuduk secara tidak langsung membantu kita membersihkan seluruh anggota terpenting seperti muka, kedua tangan, pertengahan kepala, kedua telinga serta kedua kaki daripada segala kekotoran yang tidak disangkakan.
Lantaran itu, daripada penglihatan fizikalnya, orang yang rajin serta tekun menunaikan solat secara tetap dan berkekalan akan kelihatan bersih berseri wajah, anggota tangan dan kakinya.
Ini bertepatan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya perumpamaan bagi mereka yang sering kali berwuduk dan menunaikan solat itu ialah seperti seseorang yang mandi lima kali sehari di sebatang anak sungai, maka sudah barang tentu badannya akan bersih dan suci sepanjang waktu.”
Diriwayatkan daripada Saidina Umar al-Khattab, aku pernah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa di antara kamu yang berwuduk lalu selepas memperlengkapkan wuduknya dia mengucap dua kalimah syahadah pula, maka di akhirat nanti akan dibukakan lapan pintu syurga lalu malaikat akan mengiringnya masuk daripada mana-mana saja pintu yang dikehendakinya.”
Demikian besar dan pentingnya wuduk daripada kaca mata Islam tetapi sehingga ini mungkin tidak ramai antara kita yang mahu mengambil faedah dan keberkatan daripadanya, padahal kebiasaan mengekalkan diri dalam keadaan berwuduk bukan sesuatu yang sukar dilakukan.
Pernah terjadi satu peristiwa di mana Saidina Ali, menantu kepada Nabi Muhammad SAW pada ketika beliau sedang mengambil wuduk, tiba-tiba datang seorang Quraisy yang berniat hendak mencuri barangan diletakkannya di pinggir tiang masjid.
Tetapi dengan tidak semena-mena apabila terpandang Saidina Ali sedang mengambil wuduk, si Quraisy itu menjadi gementar lalu tidak jadi hendak mengambil barangan Saidina Ali, sebaliknya dia terus beredar pulang meninggalkan masjid. Keesokan harinya si Quraisy itu datang menemui Saidina Ali lalu mengakui niat jahatnya semalam dan bermohon untuk memeluk Islam.
Demikianlah beberapa petikan riwayat, kisah serta hadis yang memperkatakan mengenai hikmah dan fadilat terkandung dalam wuduk, yang meskipun kelihatan amat kecil tetapi sebenarnya sangat berperanan lebih-lebih lagi bagi umat Islam.
Pentingnya wuduk itu, solat seseorang tidak akan diterima Allah jika wuduknya tidak menepati rukun tertib. Kepentingan wuduk juga dapat kita lihat apabila Allah mewajibkan kepada kita bertayamum jika darurat serta ketiadaan air. Kita juga akan mendapat pahala sunat memegang dan menyentuh Al-Quran dalam keadaan berwuduk
Bicara Pahrol: Ingat Mati Tingkatkan Produktiviti
Saya risau kalau semua orang ingat mati, produktiviti syarikat ini akan menurun,” kata pegawai tinggi sebuah organisasi. Dia begitu sinis sekali dengan ceramah-ceramah yang menyentuh soal mati.
“Kenapa tuan beranggapan begitu?” tanya saya.
“Bila ingat mati, masing-masing fikir diri sendiri sahaja. Mereka akan asyik solat dan zikir wirid sahaja. Mereka akan tinggalkan kerja. Saya tak setuju langsung ceramah tentang mati ni dibuat dalam organisasi ini. Sorry, saya tak setuju!” katanya berterus-terang.
“Saya rasa tidak begitu. Bila semua ingat mati, makin meningkatkan kualiti dan produktiviti syarikat ini,” kata saya.
“ Kenapa pula?” Kali ini dia pula yang bertanya.
“Orang yang ingat mati sedar dia akan menemui Allah,” jawab saya pendek.
“Apa kaitan hal itu dengan produktiviti?”
“Kalau kita sedar kita akan bertemu Allah kita akan memperelok dan memperbanyakkan ibadah.”
“Itu yang saya kata tadi… bila asyik beribadah kita akan lupa dan lalai bekerja. Habislah syarikat ini.”
Saya tersenyum. Dalam hati tertanya-tanya apakah dia belum faham konsep ibadah yang sebenar atau ada masalah lain yang “bermain” di mindanya.
“Tuan, ingin saya ingatkan konsep ibadah itu luas. Ibadah bukan sahaja solat, zikir dan wirid. Kerja juga satu ibadah.”
Dia merenung saya. Saya bersikap biasa-biasa sahaja.
“Maksud awak saya tak faham konsep ibadah?” tusuknya tiba-tiba.
“Saya Cuma mengingatkan. Ibadah itu terbahagi tiga – ibadah asas, ibadah sunat dan ibadah khusus. Ibadah asas itu, solat, puasa, zakat dan lain-lain rukun Islam. Ibadah sunat itu banyak antaranya zikir, wirid, baca Quran, solat dan puasa sunat.”
“Itu saya tahu,” getusnya.
“Manakala ibadah umum pula adalah seluruh aktiviti hidup kita selain ibadah asas dan ibadah sunat tadi. Termasuklah kita bekerja, berniaga, berhibur, bermesyuarat dan lain-lain.”
Tanpa mempedulikan reaksinya saya terus memberi penerangan.
“Tu yang saya kata tadi. Nanti semua tumpu pada ibadah asas, ibadah umum terpinggir. Pekerja kita ni bukan faham sangat konsep ibadah yang berbelit-belit ni.”
“Kitalah yang mesti memahamkan mereka. Ceramah tentang mati ini perlu dibuat selepas ceramah tentang visi dan misi hidup, konsep ibadah, habluminallah, habluminannas,” pujuk saya.
“Saya tak yakin mereka boleh difahamkan. Orang Melayu kita ni bila ingat mati gementar, takut, kecut… saya tak mahu menakut-nakutkan mereka. Kita nak kualiti, kita nak produktiviti. Ingat mati ni soal peribadi, bukan soal organisasi. Dalam organisasi kita bercakap soal keuntungan.”
“Tuan, Islam menganjurkan agar kita ingat mati, bukan takut mati. Yang tuan bimbangkan tu takut mati, bukan ingat mati.”
“ Apa bezanya?” tanyanya. Suaranya mula meninggi.
Saya diam sejenak. Berfikir untuk mengolah kata-kata yang baik. Mengadun antara kebenaran dan kelembutan
“Saya teringat maksud sebuah hadis…” kata saya memulakan penjelasan.
“Awak jangan berselindung di sebalik hadis!”
“Bukan berselindung tuan, tetapi pada siapa lagi yang patut kita sandarkan segala hujah dan pandangan melainkan kepada Rasulullah?” jelas saya perlahan.
“Apa maksud hadis tu? Direct to the point!”
“Orang yang ingat mati akan menyegerakan taubat, meningkatkan ibadah dan tenang dalam hidup. Itu maksud hadis. Sama ada ibadah asas, sunat dan umumnya. Tapi orang yang takut mati, akan hilang semangat untuk hidup. Takut mati menyebabkan mereka juga takut hidup. Hilang daya dan tenaga untuk berusaha.”
“Saya masih bimbang mereka akan takut mati bukan ingat mati.”
Perlahan-lahan saya menggeleng-gelengkan kepala. Sekarang saya mula berfikir, ini masalah dia atau masalah pekerjanya.
“Tuan jangan lupa satu golongan lagi. Mereka tu ingat mati pun tidak, takut mati pun tidak…”
“Ada lagi?”
“Ya, satu golongan lagi adalah mereka yang lupa mati. Golongan ini akan menangguhkan taubat, meremehkan ibadah dan jiwanya sentiasa kacau. Mereka ini sangat benci bila diperingatkan tentang mati kerana itu mengganggu keseronokan mereka melakukan maksiat dan dosa,” ujar saya lagi. Kebenaran itu memang pahit, walau betapa indahnya bahasa kita mengucapkannya.
“Saya masih khuatir mereka akan berkurung di surau, asyik solat, solat duha, doa berjam-jam lamanya. Kerja tertangguh.”
Terkedu saya. Satu kebimbangan yang tidak berasas.
“Kita perlu terangkan kepentingan ibadah umum. Ibadah umum yang kebanyakannya dikategorikan dalam fardu kifayah. Fardu kifayah kedudukannya lebih tinggi daripada ibadah sunat.”
“Maaflah, awak masih berfalsafah. Kita mesti realistik. Syarikat ini sedang mengalami masalah. Produktiviti dan kualiti menurun secara drastik.”
“Mengapa? Apa sebabnya?”
“Culas, curi tulang, pembaziran, rasuah…”
“Tuan, itu semua sikap orang yang lupakan mati,” jolok saya pula.
“Lagi-lagi mati. Kita bercakap tentang hidup sekarang!”
“Bercakap tentang mati akan menyebabkan kita jelas tentang hidup. Persediaan menghadapi mati dibuat semasa hidup. Keadaan hidup selepas mati sangat berkait dengan keadaan hidup sebelum mati!”
“Saya tambah tak faham dengan awak.”
“Maksud saya orang yang curi tulang, culas dan rasuah itu tidak takut dengan dosa. Mereka hanya takut dengan undang-undang dunia. Kalau mereka nampak undang-undang dunia ada kelemahan, kurang penguatkuasaan, maka di situlah mereka ambil kesempatan.”
“Apa kaitan itu dengan mati?”
Lucu. Kali ini dia pula yang mengingatkan saya tentang mati.
“Kalau mereka ingat mati, mereka ingat hari pertemuan dengan Allah di hari akhirat. Di sana segala dosa yang disembunyikan dari manusia dan yang terlepas dari undang-undang dunia akan dipaparkan dengan nyata. Bukan dipaparkan sahaja, bahkan akan beri hukuman dengan api neraka.”
Dia mula diam.
“Di sana nanti Allah akan tanyakan segala-galanya. Tentang solat, tentang kerja, tentang keluarga. Jika semua beres, baiklah keadaan hidup kita di sana. Itu yang saya katakan tadi, keadaan hidup selepas mati sangat ditentukan oleh corak kehidupan kita sebelum mati.”
“Maksud awak keadaan hidup di dunia kita sangat menentukan keadaan hidup di akhirat?”
“Ya, begitulah tuan. Orang yang ingat mati, akan melaksanakan amanah dan tanggung jawabnya dengan baik dalam famili, organisasi dan masyarakat.”
“Saya takut orang yang ingat mati asyik solat sahaja!”
“Asyik solat? Apa salahnya dengan solat?”
“Kalau asyik solat sahaja mana sempat buat kerja?”
Saya macam nak tergelak. Macamlah ramai sangat orang yang solat sampai tak sempat buat kerja. Realitinya, ramai yang bekerja sampai tak sempat solat. Dan lebih ramai orang yang tak sempat buat kedua-dua. Solat tidak, kerja pun tidak. Lalai, leka dan terbuai dengan hiburan semata-mata. Ramai yang curi masa di pejabat kerana leka dengan kerja-kerja luar, buat “direct selling”, “game”, “chatting”, “face book” dan segala macam.
“Saya rasa orang yang solatlah yang paling jujur dan amanah dalam kerja.”
“Mana boleh macam tu…”
“Ini Al Quran kata. Solat itu mencegah dari fahsya’ dan mungkar. Termasuklah mungkar dalam pekerjaan seperti culas, membazir, rasuah, curi tulang dan lain-lain.”
“Saya pernah jumpa orang yang banyak solat tapi rasuah, curi tulang…”
“Tentu ada salah di mana-mana dengan solatnya. Kalau solat tak mencegah kemungkaran, solat itu bukan solat. Ini hadis.”
“Maksud awak?”
“Mungkin solat kerana riyak. Mungkin jahil dengan ilmu solat. Atau tidak mujahadah hingga solatnya dikategorikan sebagai solat orang yang lalai. Khusyuk jauh sekali!”
“Jalan penyelesaian?”
“Perlu diberi ilmu, dididik dan dilatih dengan program solat yang sebenar!”
“Ke situ balik… saya bercakap tentang produktiviti dan kualiti kerja, awak bercakap dengan kualiti solat… Pelik!”
Saya tersenyum. Inilah realiti kefahaman majoriti umat Islam. Amalan Islam dilihat secara terpisah-pisah. Padahal semua amalan Islam itu bersepadu. Yang satu mempengaruhi yang lain. Solat ada impaknya kepada pekerjaan. Membetulkan solat boleh membetulkan pekerjaan. Soal ketepatan waktu, pengurusan masa, amanah, fokus, kebersihan, keikhlasan yang menjadi teras dalam solat seharusnya melimpah kesannya bila kita bekerja.
“Kalau begitu kita perlukan program latihan yang menyentuh soal mati ke, solat ke atau produktiviti? Saya makin keliru sekarang…” kata pegawai tinggi tersebut.
“Ketiga-tiganya sekali. Kita perlu program latihan yang bersepadu. Hingga dengan itu pekerja yang ingat mati akan serius dengan solat dan seterus akan meningkatkan produktiviti dan kualiti pekerjaannya!” jawab saya.
Dia tersentak. Saya semakin yakin, sebelum orang bawahannya menjalani program latihan yang dibincangkan itu… dialah orang yang perlu menjalaninya terlebih dahulu. Ketua yang keliru, akan mengelirukan anak buahnya!
Kisah Benar Dari Mekah...
Halal tapi haram
Biasanya kita memilih pakaian yang paling kita suka. Dalam Islam ketika memilih pakaian, kita ada identiti tersendiri.
Semuanya kena ambil kira, soal fiqah dan syariat. Sebab pakaian yang kita pakai sangat kuat terikat dengan keyakinan dan iman dalam hati kita. Malah, pakaian adalah lambang keimanan.
Sebabnya Allah sudah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik) maka dengan ini mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi." (al-Ahzab: 59)
Rupanya soal pakaian ada disebut kod dan etikanya dan panduan ini mesti diikuti semua Muslimah.
Berpakaian tak boleh ikut suka kita saja sebab kita hamba Tuhan. Sebagai hamba kena ikut tauke dan kalau tidak ikut juga dah kira lawan tauke.
Kali ini saya ingin menyentuh mengenai pakaian remaja yang nampaknya sudah tidak mengikut kod dan etika al-Quran.
Adik-adik remaja di luar sana sudah tidak menghiraukan lagi halal haram dalam pemakaian, asalkan mereka nampak bergaya, menarik, selesa 'kononnya' dan mengikut gaya fesyen terkini.
Selain pakaian yang jelas menjolok mata, ramai juga di kalangan remaja kita yang berpakaian '2H' iaitu 'Halal' tetapi 'Haram'.
Ini amat ketara jika kita perhatikan di sekeliling kita, ramai remaja yang bertudung. Apabila sekali lihat, memang nampak mereka menutup aurat.
Bagaimanapun, jika diperhatikan, ramai di kalangan mereka yang berpakaian ketat dan tidak kurang yang berlengan pendek. Pakaian lengan 'three quarter' (tiga perempat) paling glamor dan popular di kalangan remaja bertudung.
Suatu ketika dahulu, pakaian sedemikian begitu mengaibkan dan memalukan, namun kini seolah-olah ia menjadi pakaian yang dialu-alukan.
Mana tidaknya, pakaian sedemikian banyak bersangkutan dan berampaian di gedung pakaian di negara kita ini. Pelbagai fesyen baru hadir bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Terdapat juga pakaian bersaiz kecil sehingga tidak keterlaluan jika kita katakan sekarang begitu sukar untuk membezakan antara pakaian kanak-kanak dan remaja.
Sebilangan daripada remaja kita juga lupa atau tidak tahu jantina mereka sendiri sehingga si lelaki memakai pakaian perempuan, sementara perempuan pula sebaliknya.
Ustaz harap adik-adik remaja berhentilah daripada kebiasaan ini kerana dilaknat Allah. Ini jelas dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."
Ada pula yang berkata: "Berpakaian menutup aurat dan bertudung, nanti tak cantik." Siapa kata tak cantik kalau bertudung, bahkan kelihatan manis, beradab, bersih dan ada gaya tersendiri, sekali gus membezakan antara Muslimah dan bukan Islam.
Ada pula yang berkata, rambut adalah 'mahkota', jadi kenalah tunjuk. Kata-kata itu sangat tidak betul kerana jika rambut mahkota, kenalah simpan baik-baik.
Mengapa kena simpan? Ini kerana raja dan permaisuri pun hanya pakai mahkota di tempat tertentu saja, tak dibawanya ke pasar, kelab malam, padang dan lain-lain tempat, malah di tempat tertentu dan orang tertentu sahaja.
Tunjuklah mahkota itu pada suami tercinta sahaja, bukannya dikongsi dengan orang lain.
Ada pula yang berkata 'ikut fesyen moden dengan seksi dan terdedah senang pikat lelaki dan dapat kekasih.'
Aduhai remaja, jangan rendahkan martabat kita sebab bimbang nanti lelaki akan mempermainkan anda. Kerap berlaku kes 'dapat manis sepah dibuang' iaitu jadi bahan seronok saja.
Kalau dapat kahwin pun tak lama putus di tengah jalan. Rumah tangga dibina akhirnya tinggal tangga sahaja. Ingatlah, pakaian ahli syurga ialah menutup aurat.
Dari Ibu untuk para Bapa: Rahsia Jadi Ayah yg Berkesan
Rahsia Jadi Ayah Yang Berkesan
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir
BEBERAPA kajian menunjukkan bahawa kehadiran ayah menyumbang terhadap kejayaan anak dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kajian itu disimpulkan dalam Father Facts, Edisi Ketiga (1998), antaranya:
Bayi yang mempunyai ayah yang selalu bersama-sama anaknya di lapan minggu pertama, lebih berkemampuan menangani tekanan di alam persekolahan.
Anak yang rapat dengan ayahnya pada zaman kanak-kanak menjadi ejen ‘penyelesai masalah’ yang baik apabila dewasa berbanding kanak-kanak yang tidak dipedulikan oleh ayahnya.
Apabila anak lelaki dan perempuan dididik dan dibelai oleh ayahnya serta sentiasa di sampingnya, sikap mereka apabila dewasa menjadi lebih berinisiatif dan mampu mengawal diri.Kanak-kanak yang mempunyai hubungan rapat dengan ayahnya ketika zaman tumbesarannya akan menjadi seorang remaja dan orang dewasa yang seimbang.
l Anak yang tidak berbapa.
Kajian menunjukkan kekosongan daripada belaian kasih ayah mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai permasalahan gejala sosial dan prestasi pembelajaran anak-anak.
Anak yang tidak tinggal dengan ayahnya menunjukkan gejala seperti di bawah:
- Lima kali lebih teruk prestasi pembelajaran.
- Tiga kali lebih ramai yang mengandung tanpa nikah.
- Lebih 50 peratus kemungkinan keciciran dalam pembelajaran, terbabit dengan gangsterism, penyalahgunaan dadah dan jenayah juvana.(Sumber: Pusat Kebapaan Kebangsaan)
Tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan.
Ramai lelaki terbilang berjaya dan berbangga kerana menjadi seorang ayah cemerlang dan berkesan. Menurut kajian Dr Ken Canfield, pengasas dan juga Presiden Pusat Kebapaan Kebangsaan dalam penyelidikannya mengenai ‘kebapaan’ ada tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan:
-l Bapa yang komited dan bertanggungjawab.
Jalankan tugas bapa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Kenal pasti apakah tugas anda sebagai bapa dalam rumah tangga. Tunjukkan dan beritahu anak bahawa anda juga ada tugas dalam rumah tangga, disamping ibu mereka. Anda bukan hanya bertugas di luar. Sekali-sekala berikan mereka peluang untuk mengutarakan pandangan atau menegur anda jika terlupa atau terlalai melakukan tugas anda di rumah. Selalu memeriksa dan memantau apakah anda telah melaksanakan tugas di rumah. Bayangkan ‘hadiah’ atau ‘anugerah’ yang bakal didapati (sama ada di dunia atau akhirat) jika anda menjadi ayah cemerlang!
l Kenali anak anda.
Ambil masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda. Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, ketakutan, kekecewaan malah impian dan cita-cita mereka. Cuba ingatkan semua nama kawan mereka serta pembawaan masing masing.Kenal pasti apa yang selalu mengecewakan, ditakuti, dibenci, paling memalukan serta yang boleh memberi motivasi dan perangsang kepada merekal Istiqamah (tetap pendirian) .
Apabila anak tahu apa yang bapa mahukan, mereka akan lebih berasa yakin serta boleh menyesuaikannya dengan kehendak anda. Jadi, istiqamah, tetap pendirian serta konsisten.
Ada enam tempat anda perlu konsisten iaitu hadkan perubahan mood (jangan terlalu mengikuti perasaan); sentiasa ada di rumah (selalu menghadirkan diri dalam acara kekeluargaan); kotakan apa yang dikata, bukan cakap tidak serupa bikin; sentiasa menjaga moral dan adab sopan; mempunyai atur cara kehidupan teratur serta ada hobi dan kegemaran baik yang boleh dilihat dan diikuti.
l Melindungi, menyara dan mendoakan.
Sediakan suasana dan rasa selamat dalam rumah dengan memberikan respon yang positif setiap kali berlaku krisis dan permasalahan dalam rumah. Paling penting anda memberikan saraan yang cukup kepada mereka. Bapa tidak boleh menghalang berlakunya krisis, tetapi tindakan anda ketika berlaku krisis dan mengembalikan suasana normal, sebenarnya ‘mengajar’ anak menangani krisis. Jangan lupa doakan untuk anak selepas solat.
l Mencintai ibu mereka.
Zahirkan cinta anda kepada isteri anda di depan anak untuk menunjukkan satu hubungan suami isteri yang intim dan bermakna. Jadikan diri anda sebagai anggota dalam pasukan ‘keibubapaan’, bukan hanya ibu. Inilah langkah dan hadiah terbaik untuk anak. Dalam jangka panjang, anak mendapat manfaat yang sangat bernilai daripada hubungan ibu bapa yang hormat menghormati, bekerjasama dan berkasih sayang.
l Menjadi pendengar yang baik.
Sedarlah bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia. Dengar apa yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan. Tunjukkan kepada mereka bahwa mereka ‘berhak’ untuk didengari dan diberi perhatian.
l Jadikan diri anda ‘pemimpin’ kerohanian.
Beri peluang anak anda mengenali Allah dengan menunjukkan ‘keimanan’ dan amal harian anda yang selari dengan tuntutan agama. Bersolat bersama-sama dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah. Bawalah mereka bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid. Selalu bercerita mengenai makhluk yang dicintai Allah di bumi dan langit.
Apa Punca Anak Derhaka?
Sabda Rasulullah s.a.w. " Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun . Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)" dimana yang nak dipukul tu? Tapak kakinya... .. bukan muka, punggung, telinga dan ditempat-tempat yang sensitif...(itu salah...)
"Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau peluk mereka sebagai tanda penghargaan. Kala umur mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan . Tetapi selalunya usia beginilah ibu bapa mula merenggangkan hubungan dan ini menyebabkan anak derhaka". Yang penting anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan sayang, maka mereka tidak akan tergamak menderhaka . "Saya pernah tinjau, anak-anak yang lari daripada rumah, berpunca daripada rasa bosan. Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumahnya. Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di rumah. Yang penting dia balik ke rumah suka, dan pergi sekolah pun seronok. "Mungkin ibu bapa punya alasan tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk.
Kita boleh cuba cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah tidur, pergi bilik dan cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup." Jangan kita tunjuk sikap kita yang panas baran, pemarah dan ada kuasa veto kepada mereka, jangan suka mengherdik mereka dengan perkataan "bodoh, kurang ajar, sumpah seranah dan sebagainya yang merupakan doa kepada mereka ". inilah yang menyebabkan mereka derhaka kepada kita...
DOA ANAK-ANAK TERMAKBUL
Lazim orang tua, pantang anak menegur walaupun tahu mereka bersalah. Jangan rasa tercabar kerana pesan orang tua-tua, bisa ular tidak hilang walau menyusur di bawah akar. Sayyidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima. Begitu juga dengan Rasulullah, kalau berjumpa anak-anak kecil, Baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak tidak berdosa. Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah. Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegur pun dengan ekor mata dan herdikan. Si anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka mengadu, bila jumpa kawan baik tidak mengapa, tetapi jumpa yang samseng, ia sudah tentu membawa padah.
BERTAUBAT SEBELUM MELARAT
Jika Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat. Tetapi apa caranya jika orang tua telah meninggal sedangkan sewaktu hidupnya kita derhaka dan melawan mereka? Bila insaf, selalulah ziarah kubur emak ayah kita dan bacakan ayat-ayat suci untuknya. Jumpa semula kawan-kawan baik ibu atau jiran-jiran yang masih hidup dan buat baik dengan mereka. Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu redha dan Allah ampunkan dosa.
Allah maha pengampun dan luas rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala turun. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Misalnya tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, selidik apa salah yang telah kita buat hari ini. Pertama bagaimana hubungan kita dengan Tuhan, jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan dengan ibu? "Pastikan hubungan dengannya sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalinkan hubungan yang baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita."
HUBUNGAN DENGAN BAPA
Lazim ibu yang dilebihkan, sedangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak-anak. "Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, nabi suruh utamakan
ibu dahulu.. Tiga kali ibu barulah sekali kepada bapa." Bagaimanapun sebaik-baiknya, kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati. Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depanmereka. Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak ambil kira kata-kata mereka tetapi kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua."
USAH DERHAKA KEPADA MENTUA
Mentua mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri. Kalau mereka kecil hati, samalah seperti tersinggungnya hati emak. Kita sayang anaknya kenapa tidak sayang orang yang melahirkannya juga? "Saya tahu, ada
menantu kecil hati dan pendam perasaan terhadap mentua yang terlalu ambil berat tentang anaknya. Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung," jelasnya.
Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri...... Isteri kena faham, kalau dia sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang wajar. "Sebaliknya anak perempuan, yang pertama Allah, kedua rasul dan ketiga suami.. Jalan pintas ke syurga bagi anak-anak selain Allah adalah emak dan
ayahnya. "Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu. Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail. Suatu hari, Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di
rumah isterinya pun tidak kenal dengan mentuanya. Menantu berkasar menyebabkan Nabi Ibrahim kecil hati. Dan sebelum balik dia berpesan kepada menantunya suruh suaminya tukar alang rumah kepada yang baru. Bila Nabi Ismail balik, isterinya pun menggambarkan rupa lelaki tersebut menyampaikan pesan. Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya. Nabi Ismail insaf di sebalik simbol kata-kata ayahnya, bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan. Nabi Ismali berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim tertarik hati dan sebelum balik berpesan lagi, katakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain.
Panduan
1. Mulakanlah hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri.. (Dalam Islam sendiri nama panggilan
yang baik adalah digalakkan).
2. Berikan anak anda pelukkan setiap hari (Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk)
3. Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang (Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran)
4. Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan (Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya) .
5. Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan , mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah berbuat silap.
6. Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga,pilihlah keluarga (Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali).
7. Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah tuan/puan mengeluh . Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban......
8. Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap)
9. Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya .
10. Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri . Mereka akan menirunya.
11. Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadinya ..
Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah.
Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. (Anak2 yg
dtg daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).
12...... Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali .
13. Luangkanlah masa bersama anak anda diluar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka . Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan andasuami isteri.
14. Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda . Mimpi ngeri mereka adalah begitu real dalam dunia mereka..
15....Hargailah permainan kesayangan anak anda . Mereka juga dalammasa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.
16. Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam,
17. Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna . Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa.
18. Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.
19. Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja . Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri..
20. Anak-anak juga mempunyai perasaan seperti anda .
Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM
Dari Tinta Genta Rasa: Demonstrasi Melalui Solat Suboh Berjemaah
Dalam buku Misteri Solat Subuh karangan Dr. Raghib As Sirjani menukilkan, “pernah salah seorang penguasa Yahudi menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali satu hal berlaku yakni bila jumlah jemaah solat Subuh menyamai jumlah jemaah solat Jumaat.”
Atas dasar apa dia berkata demikian, tidak pula dinyatakan secara pasti. Namun jika kita sendiri melihat situasi ini lebih dekat, ada logik dan kebenarannya.
Pada tahun 80’an, sewaktu masih menuntut di universiti, terjadi satu tragedi besar dalam dunia Islam. Tentera Soviet Union (yang belum berpecah seperti sekarang) telah menyerang Afghanistan. Pada ketika itu Nur Muhammad Taraki, Babrak Karmal (seingat saya) dan lain-lain tali barut komunis telah menjadi musuh yang “menjemput” tentera Rusia menjajah Tanah Air mereka sendiri. Pelajar-pelajar Islam di universiti tempatan ketika itu telah bangun melancarkan demonstrasi.
Saya masih ingat bagaimana ucapan berapi-api daripada para pemimpin pelajar ketika itu telah membakar emosi dan menimbulkan rasa marah yang amat sangat kepada Komunis Rusia. Bendera Soviet, patung Breznev dan Babrak Karmal telah dibakar. Ucapan yang berapi-api telah disambut oleh jeritan, “Allah hu Akbar! Allah hu Akbar!” telah bergegar di padang tempat kami melakukan tunjuk perasaan.
Rasa-rasanya, kalau dilihat pada semangat yang memuncak, bagaikan semua telah bersedia untuk dihantar ke Afghanistan untuk membantu Mujahidin (waktu itu belum ada Taliban) bagi melancarkan jihad. Bilangan pelajar Islam yang berdemonstrasi saya rasa hampir mencecah ribuan orang.
Keesokan harinya, sewaktu solat Subuh di surau kolej kediaman, saya dapati hanya beberapa kerat pelajar yang datang untuk solat berjemaah. Sangat minoriti, tidak sampai satu saf pun. Ke mana perginya mereka yang bersemangat berapi-api semalam? Tidak ada laungan Allah hu Akbar lagi sekalipun untuk sekadar bertakbiratul Ihram. Dan paling aneh, para pemimpin pelajar yang hebat berpidato itu pun tidak muncul-muncul.
Cuba fikirkan mengapa terjadi demikian? Akan gerunkah musuh Islam kepada umat yang tidak solat Subuh berjemaah ataupun tidak bangun Subuh langsung? Pada hal demonstrasi hakiki yang benar-benar menggerunkan musuh (berdasarkan pengakuan penguasa Yahudi sendiri) ialah solat Subuh secara berjemaah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam.
Tidak salah membakar bendera negara yang menzalimi umat Islam, tetapi alangkah baiknya jika kita terlebih dahulu “membakar” selimut syaitan yang menghalang kita bangun untuk solat Subuh berjemaah? Tidak salah bertempik dan bertakbir bagi menunjukkan kemarahan kita terhadap musuh Islam, tetapi alangkah baiknya jika suara itu digunakan juga untuk bertabiratul Ihram dalam solat Subuh secara berjemaah?
Hemm, mampukah orang yang “liat” bangun Subuh berjemaah demi cintanya kepada Allah berangkat ke medan jihad untuk memerangi musuh Allah??
Ada tokoh yang hebat yang begitu menarik kata dan ucapannya tentang Islam… begitu indah, bersemangat dan menyentuh. Tetapi apakah ertinya jika dia melazimi tidak hadir ke masjid untuk berjemaah Subuh? Atau figur ekonomi Islam yang berjaya membentang segala perancangan dan strategi muamalat Islam tetapi liat melangkah kaki menyertai solat Subuh berjemaah. Atau seorang yang begitu menonjol sekali dalam melahirkan produk-produk serta perkhidmatan Islam, tetapi hanya “kadang-kadang” dan “jarang-jarang” menyertai solat berjemaah Isyak dan Subuh!
Marilah kita renungi dua hadis ini:
1. Rasulullah saw telah bersabda:
“Barangsiapa yang solat Isyak berjemaah maka seakan-akan dia telah solat separuh malam. Dan barang siapa solat Subuh berjemaah (atau dengan solat Isyak seperti yang tertera dalam hadis Abu Daud dan Tirmizi) maka seakan-akan dia telah melaksanakan solat malam semalam penuh.” (HR Muslim).
2. Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya dua solat ini (Subuh dan Isyak) adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya, apabila mereka mengetahui apa yang ada dalam solat Subuh dan Isyak, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (HR Ahmad dan An Nasai’)