MAHA SUCI ALLAH: Pencarian Mencari Cinta Allah Diperkenankan oleh MU.
Untuk teman2 pengunjung blog ini, tak dapat saya gambarkan kegembiraan hati ini bila pencarian saya dibimbing Allah ke arah yg saya rindukan. Artikel ini membuka jiwa saya yg selama ini sentiasa mencari erti ikhlas dan redha menjadi Hamba ALLAH. Mulai Detik ini jadikanlah saya dan sesiapa yg menemui dan membaca blog ini sentiasa menjadi kekasihMU YA ALLAH. KEMBALIKANLAH KAMI KEPADA MU DGN JIWA KAMI YG TENANG . Ameen
Faktor Kuasa Redha
Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
Al-Quran: Al-AnFaal Ayat 2
Jika saudara ‘google’ nama Fuad Latip di internet, saudara pasti akan mendapati keputusan carian penuh dengan menceritakan tentang penglibatan saya di dalam dunia perniagaan internet. Pelbagai kajian dan pembinaan sistem yang saya lakukan sejak dahulu untuk perniagaan internet saya dan ia masih berjalan.
Rezeki yang Allah beri adalah terlalu tinggi untuk saya, isteri dan anak. Alhamdulillah sejak dahulu rezeki datang tanpa pernah kekeringan wang. Namun rezeki yang datang mudah sahaja kehabisan. Ada sahaja perkara yang memerlukan wang.
Saya menyedari akhirnya di mana keberkatan Allah adalah segala-galanya. Rezeki yang mempunyai keberkatan datangnya daripada Redha Allah. Allah memberikan rezeki disebabkan kita berusaha untuk mendapatkannya kerana Allah tidak pernah menzalimi diri kita. Tetapi redha atau tidak merupakan satu perkara yang berbeza. Kita mendapat rezeki, tetapi adakah ia diberkati atau tidak? Di situlah terletaknya redha Allah.
Rezeki yang saya terima bukanlah rezeki yang haram. Tetapi keberkatan dan keredhaan itu dinilai dari segi berapa jauh atau dalamnya keikhlasan kita dengan Allah. Kita mungkin ikhlas sesama manusia (perniagaan yang tiada penipuan) tetapi bagaimana ikhlasnya ibadah kita dengan Allah?
Ketika dulu saya bersolat kerana solat adalah wajib. Saya berdoa kerana saya ingin Allah berikan rezeki yang banyak pada saya, umur yang panjang, hidup yang bahagia dan sebagainya.
Rupanya ibadah saya tidak ikhlas. Saya melakukan ibadah kerana sesuatu iaitu kerana solat itu wajib dan juga inginkan sesuatu hajat seperti murah rezeki, panjang umur dan sebagainya. Semua itu menjadi lebih utama berbanding saya ikhlas kerana Allah SWT. Bukan kerana wujudnya rasa menCINTAI Allah.
Jika ditanya kepada diri kita samada kita mencintai Allah atau tidak, pasti jawapan yang diterima adalah kita menyintai Allah. Namun jika dinilai dari tingkah laku dan juga dari dalam jiwa kita, perasaan CINTA Allah itu belum tentu 100% cinta.
Adakah hati kita gementar atau berdebar apabila disebut nama Allah?
Bagaimana perasaan orang bercinta apabila disebut nama kekasih hati? Berdebar bukan. Begitulah jadinya iaitu berdebar hati kita apabila kita benar-benar mempunyai perasaan CINTA pada Allah. Apabila disebut nama Allah, gementar dan berdebar hati kita.
Apabila dibaca ayat-ayat Allah yang menyatakan kekuasaan Allah, pasti bertambah lagi cinta kita pada Allah.
Ia seumpama diri kita yang sedang jatuh cinta. Jika kita mendengar cerita berkaitan orang yang kita sayang, membaca surat cinta yang dikirimkan oleh yang tersayang, melihat barangan yang diberi oleh kekasih kita sudah pasti kita akan berdebar mengenangkan kekasih kita. Seharusnya juga perasaan kita kepada Allah sedemikian rupa.
Faktor kuasa Redha adalah keikhlasan. Keikhlasan datang dari CINTA. Hanya apabila wujudnya perasaan CINTa pada Allah, maka kita akan lakukan apa saja ikhlas kerana Allah.
Dan sesungguhnya CINTa itu dapat dikukuhnya HANYA DENGAN BERKOMUNIKASI. Komunikasi dengan Allah bukan hanya berdoa, bukan hanya di dalam solat tetapi seluruh kehidupan kita ini. Setiap apa yang kita lakukan, kita ceritakan kepada Allah. Tiada lagi ‘mind chat’ di dalam kepala kita. Yang ada hanyalah komunikasi dengan Allah.
Apabila CINTA kepada Allah telah kukuh, kita akan melakukan segala-galanya IKHLAS hanya kerana Allah. Dan akhirnya pasti Allah akan anugerahkan REDHANYA kepada kita. Orang yang IKHLAS tidak akan pernah kecewa. Semua yang kita lakukan akan diserahkan dan bertawakal kepada Allah. Redha dengan ketentuan yang Allah telah berikan.
Redha orang yang beriman adalah Redha yang Aktif. Bukan redha yang pasif. Inilah ciri-ciri orang yang beriman iaitu “dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”
Sejak hari itu, saya sering membaca doa memohon daripada Allah agar wujudkan rasa cinta dalam hati ini kepada Allah.
“Ya Allah, Yang Maha Menyintai, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang, Yang Memiliki Segala Cinta, Yang Menggenggam Segala Kasih Sayang, aku memohon daripadaMu ya Allah, agar kau wujudkan rasa cinta kepadaMU dalam jiwaku ya Allah, semoga jiwa ini tenang dengan merasakan cinta kepadaMu ya Allah. Ameen ya Rabbal alamin”
0 comments:
Catat Ulasan