Bicara Fuad Latip: Petua melembutkan Hati Anak
Melembutkan Hati Anak
Seminggu yang lepas, mak saya berada di rumah saya selama seminggu sebelum beliau pergi ke rumah kakak saya. Kesempatan yang ada, saya gunakan sepenuhnya untuk menimba ilmu keibubapaan daripada mak saya. Saya ingin tahu bagaimana untuk melembutkan hati anak.
Saya mempunyai 10 orang adik beradik (4 lelaki dan 6 perempuan). Saya merupakan yang bongsu. Saya bertanya kepada mak saya tentang bagaimana mak dan arwah ayah membesarkan anak-anak beliau.
Dalam keadaan yang kekurangan, beliau mampu menjaga anak-anak dengan baik dan menjadi orang yang baik-baik. Alhamdulillah semua 10 orang menjadi manusia yang taat, tidak mempunyai masalah sesama adik beradik, sentiasa mengasihi dan tolong menolong dan sentiasa mengasihi mak dan arwah ayah.
Mak saya memberikan petua yang tidak pernah diceritakan. Apakah petuanya yang dirahsiakan selama ini?
Setiap kali menyedia dan memasak makanan untuk keluarga, mak akan membaca “Ya Rahman, Ya Rahim” ketika memasak dan menyuap makanan ke dalam mulut anak-anak beliau.
Mak menambah lagi, ketika menyedia dan menyuap makanan itu, beliau hanya ingat “hanya Engkau ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang yang mampu memberikan anak aku kenyang dan sihat. Terima kasih Allah kerana memberikan rezeki kepada anak-anak aku“. Itulah kata-kata mak di dalam hati ketika menyuapkan anak-anak mak makan. Rupanya mak terlebih dahulu mengamalkan “terima kasih Allah SWT” sejak dulu lagi.
Mak kata lagi, mak juga beri kucing dan ayam mak makan dengan menyebut “Ya Rahman, Ya Rahim“. Kucing-kucing dan ayam-ayam peliharaan mak semuanya jinak-jinak dan tidak menyusahkan tuan rumah (mak).
Wah! sungguh menarik rahsia yang mak berikan kepada saya.
Benarlah, selalunya orang-orang yang memiliki kesedaran tertinggi ini hidup mereka tenang. Patutlah arwah ayah dan mak, walaupun mereka susah namun mereka mampu membesarkan 10 orang anak-anak penuh dengan ketenangan. Tidak merungut, tidak mengeluh dan sentiasa rajin berusaha dan beribadat kerana mereka yakin benar segala-galanya adalah ketentuan Ilahi dan doa dengan sabar serta solat mampu mengubah takdir kehidupan.
Terima kasih Allah. Terima kasih mak. Al-fatihah untuk arwah ayah.
***
Apa kata selain daripada anak-anak kita, kita cuba kepada suami atau isteri pula untuk melembutkan hati mereka. Sesekali suapkan mereka makan sambil menyebut di dalam hati “Ya Rahman, Ya Rahim“.
Jangan lupa juga ketika menyediakan makanan samada memasak, menghidang makanan atau juga membancuh air. InshaAllah lembut hati suami atau isteri. Maka ketika suami meminta isteri membancuh air, janganlah merungut. Inilah peluang terbaik untuk melembutkan hati suami
Hikmah mencari Cinta Ilahi yg hakiki.
MAHA SUCI ALLAH: Pencarian Mencari Cinta Allah Diperkenankan oleh MU.
Untuk teman2 pengunjung blog ini, tak dapat saya gambarkan kegembiraan hati ini bila pencarian saya dibimbing Allah ke arah yg saya rindukan. Artikel ini membuka jiwa saya yg selama ini sentiasa mencari erti ikhlas dan redha menjadi Hamba ALLAH. Mulai Detik ini jadikanlah saya dan sesiapa yg menemui dan membaca blog ini sentiasa menjadi kekasihMU YA ALLAH. KEMBALIKANLAH KAMI KEPADA MU DGN JIWA KAMI YG TENANG . Ameen
Faktor Kuasa Redha
Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
Al-Quran: Al-AnFaal Ayat 2
Jika saudara ‘google’ nama Fuad Latip di internet, saudara pasti akan mendapati keputusan carian penuh dengan menceritakan tentang penglibatan saya di dalam dunia perniagaan internet. Pelbagai kajian dan pembinaan sistem yang saya lakukan sejak dahulu untuk perniagaan internet saya dan ia masih berjalan.
Rezeki yang Allah beri adalah terlalu tinggi untuk saya, isteri dan anak. Alhamdulillah sejak dahulu rezeki datang tanpa pernah kekeringan wang. Namun rezeki yang datang mudah sahaja kehabisan. Ada sahaja perkara yang memerlukan wang.
Saya menyedari akhirnya di mana keberkatan Allah adalah segala-galanya. Rezeki yang mempunyai keberkatan datangnya daripada Redha Allah. Allah memberikan rezeki disebabkan kita berusaha untuk mendapatkannya kerana Allah tidak pernah menzalimi diri kita. Tetapi redha atau tidak merupakan satu perkara yang berbeza. Kita mendapat rezeki, tetapi adakah ia diberkati atau tidak? Di situlah terletaknya redha Allah.
Rezeki yang saya terima bukanlah rezeki yang haram. Tetapi keberkatan dan keredhaan itu dinilai dari segi berapa jauh atau dalamnya keikhlasan kita dengan Allah. Kita mungkin ikhlas sesama manusia (perniagaan yang tiada penipuan) tetapi bagaimana ikhlasnya ibadah kita dengan Allah?
Ketika dulu saya bersolat kerana solat adalah wajib. Saya berdoa kerana saya ingin Allah berikan rezeki yang banyak pada saya, umur yang panjang, hidup yang bahagia dan sebagainya.
Rupanya ibadah saya tidak ikhlas. Saya melakukan ibadah kerana sesuatu iaitu kerana solat itu wajib dan juga inginkan sesuatu hajat seperti murah rezeki, panjang umur dan sebagainya. Semua itu menjadi lebih utama berbanding saya ikhlas kerana Allah SWT. Bukan kerana wujudnya rasa menCINTAI Allah.
Jika ditanya kepada diri kita samada kita mencintai Allah atau tidak, pasti jawapan yang diterima adalah kita menyintai Allah. Namun jika dinilai dari tingkah laku dan juga dari dalam jiwa kita, perasaan CINTA Allah itu belum tentu 100% cinta.
Adakah hati kita gementar atau berdebar apabila disebut nama Allah?
Bagaimana perasaan orang bercinta apabila disebut nama kekasih hati? Berdebar bukan. Begitulah jadinya iaitu berdebar hati kita apabila kita benar-benar mempunyai perasaan CINTA pada Allah. Apabila disebut nama Allah, gementar dan berdebar hati kita.
Apabila dibaca ayat-ayat Allah yang menyatakan kekuasaan Allah, pasti bertambah lagi cinta kita pada Allah.
Ia seumpama diri kita yang sedang jatuh cinta. Jika kita mendengar cerita berkaitan orang yang kita sayang, membaca surat cinta yang dikirimkan oleh yang tersayang, melihat barangan yang diberi oleh kekasih kita sudah pasti kita akan berdebar mengenangkan kekasih kita. Seharusnya juga perasaan kita kepada Allah sedemikian rupa.
Faktor kuasa Redha adalah keikhlasan. Keikhlasan datang dari CINTA. Hanya apabila wujudnya perasaan CINTa pada Allah, maka kita akan lakukan apa saja ikhlas kerana Allah.
Dan sesungguhnya CINTa itu dapat dikukuhnya HANYA DENGAN BERKOMUNIKASI. Komunikasi dengan Allah bukan hanya berdoa, bukan hanya di dalam solat tetapi seluruh kehidupan kita ini. Setiap apa yang kita lakukan, kita ceritakan kepada Allah. Tiada lagi ‘mind chat’ di dalam kepala kita. Yang ada hanyalah komunikasi dengan Allah.
Apabila CINTA kepada Allah telah kukuh, kita akan melakukan segala-galanya IKHLAS hanya kerana Allah. Dan akhirnya pasti Allah akan anugerahkan REDHANYA kepada kita. Orang yang IKHLAS tidak akan pernah kecewa. Semua yang kita lakukan akan diserahkan dan bertawakal kepada Allah. Redha dengan ketentuan yang Allah telah berikan.
Redha orang yang beriman adalah Redha yang Aktif. Bukan redha yang pasif. Inilah ciri-ciri orang yang beriman iaitu “dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”
Sejak hari itu, saya sering membaca doa memohon daripada Allah agar wujudkan rasa cinta dalam hati ini kepada Allah.
“Ya Allah, Yang Maha Menyintai, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang, Yang Memiliki Segala Cinta, Yang Menggenggam Segala Kasih Sayang, aku memohon daripadaMu ya Allah, agar kau wujudkan rasa cinta kepadaMU dalam jiwaku ya Allah, semoga jiwa ini tenang dengan merasakan cinta kepadaMu ya Allah. Ameen ya Rabbal alamin”
Hikmah sujud dlm solat
Membentulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
Membetulkan pundi peranakan yang jatuh
Melegakan sakit hernia. (burut)
Mengurangkan sakit senggugut ketika haid
Melegakan paru-paru daripada ketegangan.
Mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.
Kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh.
Meringankan bahagian pelvis.
Memberi dorongan supaya mudah tidur.
Menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun dari sujud.
Pergerakan otot itu menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik, secara automatik memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik.
Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.
Mengurangkan kegemukan
Pergerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ketempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut (convulsions).
Organ terpenting iaitu otak manusia menerima banyak bekalan darah dan oksigen. Ini mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepamkan darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya.
Dari segi psikologi pula, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Maha Pencipta sekalli gus mengikis sikap sombong, riak, takbur dan sebagainya.
Dari segi perubatan kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentaliti seseorang.
Menurut kajian, terdapat beberapa urat saraf dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah sedangkan setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal dan sempurna
Wuduk, solat: Terapi yg dipinggirkan
Hikmah mengekalkan wuduk
Oleh Zahari Hasib
UMUMNYA kita beranggapan wuduk wajib apabila hendak mendirikan solat saja atau dengan lain perkataan, berwuduk itu hanya pada saat kita akan menunaikan sembahyang, tanpa wuduk sudah tentu tidak boleh menunaikan solat.
Bagaimanapun tidak ada pula yang dapat merasakan wuduk perlu menjadi suatu daripada kebiasaan, kerana kita kurang mengetahui bahawa mengekalkan wuduk mempunyai banyak hikmah dan pahala tersembunyi.
Menurut riwayat yang sahih, Nabi Muhammad SAW adalah contoh nabi yang paling banyak mengambil wuduk sebelum melakukan sesuatu pekerjaan. Khalifah Umar al-Khattab pun sering berwuduk sebelum melangkah untuk memulakan perjalanan. Sebaik saja dilantik menjadi khalifah, Umar al-Khattab terus mengambil wuduk lalu mendirikan solat sunat dua rakaat.
Saidina Abu Bakar seorang khalifah Islam yang terbilang pernah ditanya seseorang mengenai perbuatannya mengambil wuduk pada saat akan menunggangi unta, lalu Saidina Abu Bakar menjawab: “Dengan berwuduk ketika akan melakukan perjalanan, dengan izin Allah kita akan terhindar daripada sebarang musibah dan kemalangan.”
Banyak riwayat serta hadis yang menerangkan betapa besarnya fadilat dan keberkatan wuduk, sehingga kita perlu mengakui pentingnya mengekalkan wuduk dan tidak hanya menjadikannya kewajipan untuk menunaikan solat.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang berwuduk dan dalam melakukan wuduknya itu dia berserah semata-mata hanya kepada Allah, lalu dia pula mematuhi segala rukun tertibnya yang betul, maka nescaya akan keluarlah segala dosa-dosanya daripada seluruh jasad hatta sekalipun dosa yang ada tersangkut pada celah kukunya pun akan mengalir jatuh bersama air wuduk itu.” (Hadis riwayat Muslim dan an-Nasai)
Tidak dinafikan cabaran bagi kita untuk bangun pagi dan berwuduk bagi menunaikan solat Subuh kerana lebih enak meneruskan tidur tetapi Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang berwuduk dengan cara sempurna di awal pagi yang dingin maka pahala baginya dua kali ganda.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Hadis sahih juga menerangkan bahawa kebiasaan mengambil wuduk pada tiap hari lima kali (kerana keperluan untuk solat lima waktu untuk sehari semalam) mempunyai manfaat yang baik dari segi kesihatan.
Berwuduk secara tidak langsung membantu kita membersihkan seluruh anggota terpenting seperti muka, kedua tangan, pertengahan kepala, kedua telinga serta kedua kaki daripada segala kekotoran yang tidak disangkakan.
Lantaran itu, daripada penglihatan fizikalnya, orang yang rajin serta tekun menunaikan solat secara tetap dan berkekalan akan kelihatan bersih berseri wajah, anggota tangan dan kakinya.
Ini bertepatan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya perumpamaan bagi mereka yang sering kali berwuduk dan menunaikan solat itu ialah seperti seseorang yang mandi lima kali sehari di sebatang anak sungai, maka sudah barang tentu badannya akan bersih dan suci sepanjang waktu.”
Diriwayatkan daripada Saidina Umar al-Khattab, aku pernah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa di antara kamu yang berwuduk lalu selepas memperlengkapkan wuduknya dia mengucap dua kalimah syahadah pula, maka di akhirat nanti akan dibukakan lapan pintu syurga lalu malaikat akan mengiringnya masuk daripada mana-mana saja pintu yang dikehendakinya.”
Demikian besar dan pentingnya wuduk daripada kaca mata Islam tetapi sehingga ini mungkin tidak ramai antara kita yang mahu mengambil faedah dan keberkatan daripadanya, padahal kebiasaan mengekalkan diri dalam keadaan berwuduk bukan sesuatu yang sukar dilakukan.
Pernah terjadi satu peristiwa di mana Saidina Ali, menantu kepada Nabi Muhammad SAW pada ketika beliau sedang mengambil wuduk, tiba-tiba datang seorang Quraisy yang berniat hendak mencuri barangan diletakkannya di pinggir tiang masjid.
Tetapi dengan tidak semena-mena apabila terpandang Saidina Ali sedang mengambil wuduk, si Quraisy itu menjadi gementar lalu tidak jadi hendak mengambil barangan Saidina Ali, sebaliknya dia terus beredar pulang meninggalkan masjid. Keesokan harinya si Quraisy itu datang menemui Saidina Ali lalu mengakui niat jahatnya semalam dan bermohon untuk memeluk Islam.
Demikianlah beberapa petikan riwayat, kisah serta hadis yang memperkatakan mengenai hikmah dan fadilat terkandung dalam wuduk, yang meskipun kelihatan amat kecil tetapi sebenarnya sangat berperanan lebih-lebih lagi bagi umat Islam.
Pentingnya wuduk itu, solat seseorang tidak akan diterima Allah jika wuduknya tidak menepati rukun tertib. Kepentingan wuduk juga dapat kita lihat apabila Allah mewajibkan kepada kita bertayamum jika darurat serta ketiadaan air. Kita juga akan mendapat pahala sunat memegang dan menyentuh Al-Quran dalam keadaan berwuduk