Rabu, 28 Julai 2010 0 comments

Peringatan untuk diri 2

Azam Ramadhan 1:Menjadi Ibubapa yang Berjaya

Assalamualaikum sahabat-sahabat yang mulia,

Dewasa ini, masyarakat pasti akan memuji kehebatan ibubapa yang mempunyai anak-anak yang bijak dan pandai dalam bidang akademik. Namun, secemerlang mana pun akademik seorang anak, tetapi jika dia tidak taat perintah Allah dan tidak mengamalkan sunnah Nabi saw dalam kehidupannya (kerana ibubapanya tidak pernah mendidiknya untuk perkara itu), maka di sisi Allah swt, dia & ibubapanya tidak berjaya.

Semua ibubapa pasti akan gembira melihat kejayaan anaknya mengumpulkan harta samada melalui pekerjaan mahupun perniagaan. Namun, walau seorang anak itu telah menjadi seorang jutawan, hartawan dan dermawan, tetapi jika dia tidak taat perintah Allah dan tidak mengamalkan sunnah Nabi saw dalam kehidupannya (kerana ibubapanya tidak pernah mendidiknya untuk perkara itu), maka di sisi Allah swt, dia & ibubapanya tidak berjaya.

Jadi, bagaimana untuk menjadi ibubapa yang berjaya?

Ibubapa yang berjaya adalah ibubapa yang taat perintah Allah, tinggalkan segala laranganNya dan beramal mengikut cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Dan mereka juga berusaha sungguh-sungguh untuk mendidik anak-anak mereka supaya melakukan perkara yang sama (taat perintah Allah swt & amal cara hidup Rasulullah saw).

arabic10-5“Marilah menuju kejayaan”

Memandangkan esok adalah 15 Syaaban, maka hanya tinggal lebih kurang 15 hari sahaja lagi untuk sampai ke bulan Ramadhan. Maka saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat yang mulia di luar sana untuk sama-sama kita berazam untuk menjadi ibubapa yang berjaya. Mari kita perbaiki diri & tingkatkan amalan sempena Ramadhan tahun ini.

Kerana, kalau bukan Ramadhan tahun ini, bila lagi kita mahu berazam untuk berubah? Hakikatnya, tiada siapa yang dapat menjamin bahawa kita akan hidup lagi waima dalam Ramadhan tahun ini. Sedangkan kejayaan ini adalah KEPERLUAN kita di dunia, di kubur, di mahsyar, di titian sirat dan untuk terselamat dari seksaan api neraka.

Namun, apa yang penting, kita sudah ada AZAM. Kita sudah ada niat untuk berubah dan menjadi ibubapa yang berjaya.

Mafhum hadis Nabi saw;…..“Sesiapa yang berniat utuk melakukan satu kebaikan dan kemudiannya (atas sebab-sebab tertentu) dia tidak dapat melakukannya, maka Allah swt akan menulis baginya satu kebaikan yang sempurna. Dan jika selepas berniat, dia berjaya melakukan kebaikan itu, maka Allah swt akan menuliskan baginya 10 hingga 700 kebaikan bahkan hingga beberapa gandaan lagi.”(H.R Bukhari)

Atas maksud tersebut, insyaallah, dalam masa 15 hari ini, saya akan cuba untuk mengeluarkan beberapa artikel untuk membantu melengkapkan persiapan ibubapa semua untuk menjadi ibubapa yang berjaya.

Ini bukan sekadar kejayaan biasa, tetapi ini adalah kejayaan yang SANGAT BESAR di sisi ALLAH swt :) Apabila kita berjaya di sisi Allah swt, maka kita adalah manusia yang berjaya di dunia dan di akhirat. InsyaAllah…

Salam kejayaan buat semua ibubapa yang berazam untuk BERJAYA!

Fii amanillah :)


Selasa, 27 Julai 2010 0 comments

Peringatan untuk diri

Sesungguhnya aku hanya menerima solat daripada orang yg merendahkan diri dengan solatnya kerana kebesaranku, yg tidak menyombongkan diri pada makhlukku, yg tidak mengulangi maksiat padaku, yg mengisi sebahagian siang bagi mengingatiku, yg menyanyangi orang miskin, org dalam perjalanan, wanita yg ditinggalkan suami dan orang yg ditimpa musibah. Cahayanya bagaikan cahaya matahari. Aku lindungi dia dgn Kekuasaanku, aku perintahkan malaikat menjaganya, aku jadikan cahaya dalam kegelapannya, aku berikan ilmu dalam ketidak tahuannya.

(Sayyid Sabiq, Islamuna:119)

MAJLIS ILMU RK-i MENJELANG RAMADHAN

KURSUS LANJUTAN RK-i (DI AMBANG RAMADHAN)


Globalisasi kapitalis telah menyumbang kepada komersialisasi dan kehilangan nilai-nilai kerohanian yang merangkumi segala aspek kehidupan, termasuklah amalan keagamaan. Bagi orang Islam kehadiran bulan Ramadhan amat penting kerana ayat suci Al-Quran pertama kali diturunkan kepada Rasulullah saw dalam bulan yang mulia ini. Umat Islam berpuasa pada siang hari sambil mengisi bulan ini dengan pelbagai amalan yang mulia seperti memperbanyakkan solat, bacaan Al-Quran dan juga zikir serta bersedekah.


Sudah menjadi kelaziman umat Islam berbuka puasa sama ada di masjid atau di rumah bersama anggota keluarga dalam persekitaran yang penuh dengan nilai kerohanian. Tetapi kini, semakin ramai golongan elit dan pertengahan yang tinggal di bandar-bandar besar berbuka puasa di hotel yang menawarkan juadah yang lazat serta amat membuka selera. Sudah menjadi kebiasaan bagi mereka menjamu pegawai-pegawai kerajaan, pelanggan, rakan niaga dan tidak kurang juga kaum keluarga.


Kini, Ramadhan telah menjadi sama seperti menyambut Krismas, telah dimanafaatkan sepenuhnya oleh industri pengiklanan untuk menggalakkan pengambilan makanan dan perkhidmatan yang berlebihan malah melampui batas. Ramadhan yang suatu ketika dulu menjadi satu bulan yang penuh dengan amalan kerohanian telah menjadi bulan pesta makanan, apa sahaja makanan yang sukar di dapati pada bulan lain, pastinya ada pada bulan Ramadhan.


Kini, lihatlah bagaimana pengaruh usaha yang berterusan kaum Yahudi dan Nasrani telah tidak mampu lagi dibendung oleh umat Islam sehinggakan pada bulan yang begitu mulia ini pun kita masih lagi tewas, apatah lagi pada bulan-bulan yang lain. Ya Allah hanya padaMu keluhanku ini…


Selaras dengan kesungguhan agar Ramadhan tahun ini menjadi Ramadhan yang benar-benar bermakna, tidak sama macam Ramadhan yang terdahulu, satu sesi kursus lanjutan selama 4 jam bagi kesinambungan majlis ilmu RK-i akan di adakan lokasi-lokasi seperti yang tertera dalam halaman web RK-i. Penyertaan adalah terbuka kepada semua Perunding Profesional, Pengamal Profesional, Pengamal Pelatih, Ahli dan Keluarga(bagi Ahli,Pengamal dan Perunding RK-i sahaja). Bayaran yuran akan dikenakan sebanyak RM5 /orang.


Tempat: Dewan Masjid Taman Pasir Putih, Pasir Gudang
Hari : Ahad 8 Ogos 2010
Masa : 8 pagi
Isnin, 26 Julai 2010 0 comments

renungan untuk diri

Apakah Erti Kejayaan Untuk Anak Anda?

graduationSaya percaya, ramai orang bersetuju bahawa maksud kejayaan itu adalah subjektif. Sebagai ibubapa, kita lah yang menetapkan garis ukur kejayaan untuk anak kita. Apakah erti kejayaan untuk anak anda?

Ada orang menilai kejayaan anak dari sudut pencapaian akademiknya.

Ada juga yang meletakkan anak itu berjaya bila ia berjaya mengumpul harta yang banyak, ada kereta besar dan ada rumah besar.

Mengapa erti kejayaan ini sangat penting?

Apabila kita rasakan bahawa kecemerlangan akademik adalah kejayaan buat anak kita, maka kita akan tumpukan usaha pada akademiknya. Hantar ke sekolah yang bagus. Hantar ke kelas tuisyen dsb.

Apabila kita meletakkan kejayaan itu pada harta, maka kita akan usahakan supaya anak kita untuk mempunyai pendapatan tetap, ada kerjaya yang baik, ada ijazah keleas pertama supaya dapat mohon kerja yang bagus dsb.

Ya, erti kejayaan yang kita cipta akan memberi kesan terhadap apakah yang akan kita usahakan untuk anak kita sepanjang mendidiknya.

Jadi, apakah erti kejayaan yang sebenar untuk anak kita?

Kejayaan yang hakiki, ialah apabila anak kita dapat taat perintah Allah swt dan dapat amal cara hidup Rasulullah saw dalam setiap yang dilakukan dalam kehidupannya.

Sekiranya dia seorang yang cemerlang akademiknya, dia adalah seorang pelajar genius yang taat kepada Allah dan RasulNya.

Sekiranya dia seorang doktor, dia adalah seorang doktor yang taat kepada Allah dan Rasulnya.

Sekiranya dia seorang businessman, dia adalah seorang businessman yang taat kepada Allah dan Rasulnya.

Hasilnya…

Seorang pelajar yang beriman pada Allah dan Rasulnya akan yakin bahawa kejayaan yanga da padanya bukan datang dari kepandaian dirinya, tetapi ia datang daripada Allah. Dengan ilmu yang dia ada, dia akan gunakan dan amalkan mengikut apa yang dibenarkan oleh Allah swt dan ditunjukkan oleh Nabi saw.

Seorang doktor yang beriman akan bekerja dengan ikhlas. Merawat pesakitnya kerana Allah. Mengajak pesakitnya untuk sentiasa dekat kepada Allah yakin kepada kuasa Allah. Hanya Allah yang boleh menyembuhkan penyakit. Ubat dan doktor tak dapat sembuhkan sebarang penyakit. Maka, nasihatnya pada pesakit adalah supaya menambahkan ibadah dan doa nya agar disembuhkan dari penyakit.

Seorang businessman yang beriman akan menjaga waktu solatnya. Kerana dia yakin, rezeki itu datangnya daripada Allah. Bukan daripada usahanya memajukan perniagaan. Dia tidak akan memakan riba’ kerana riba’ itu diharamkan oleh Allah dan setiap yang Allah swt haramkan pasti membawa kegagalan. Dia yakin, semakin tinggi ketaatannya pada Allah swt, semakin berjayalah kehidupannya di dunia dan di akhirat.

Letakkanlah erti kejayaan yang sebenar kepada anak-anak kita, supaya mereka tahu apakah yang lebih utama untuk hidup ini. Walau setinggi mana pun ijazah yang kita perolehi, walau setinggi mana pun pangkat yang kita miliki, walau sebanyak mana pun harta yang kita dapat kumpul, Allah swt tidak pernah akan tanya semua itu apabila kita tiba di akhirat nanti.

Allah swt hanya akan tanya kita, tentang IMAN dan AMAL yang telah kita usahakan di dunia ini. Kedua perkara ini jugalah yang akan menentukan kejayaan abadi buat kita, samada ditempatkan di syurga mahupun di neraka.