Azam Ramadhan 1:Menjadi Ibubapa yang Berjaya
Assalamualaikum sahabat-sahabat yang mulia,
Dewasa ini, masyarakat pasti akan memuji kehebatan ibubapa yang mempunyai anak-anak yang bijak dan pandai dalam bidang akademik. Namun, secemerlang mana pun akademik seorang anak, tetapi jika dia tidak taat perintah Allah dan tidak mengamalkan sunnah Nabi saw dalam kehidupannya (kerana ibubapanya tidak pernah mendidiknya untuk perkara itu), maka di sisi Allah swt, dia & ibubapanya tidak berjaya.
Semua ibubapa pasti akan gembira melihat kejayaan anaknya mengumpulkan harta samada melalui pekerjaan mahupun perniagaan. Namun, walau seorang anak itu telah menjadi seorang jutawan, hartawan dan dermawan, tetapi jika dia tidak taat perintah Allah dan tidak mengamalkan sunnah Nabi saw dalam kehidupannya (kerana ibubapanya tidak pernah mendidiknya untuk perkara itu), maka di sisi Allah swt, dia & ibubapanya tidak berjaya.
Jadi, bagaimana untuk menjadi ibubapa yang berjaya?
Ibubapa yang berjaya adalah ibubapa yang taat perintah Allah, tinggalkan segala laranganNya dan beramal mengikut cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Dan mereka juga berusaha sungguh-sungguh untuk mendidik anak-anak mereka supaya melakukan perkara yang sama (taat perintah Allah swt & amal cara hidup Rasulullah saw).
“Marilah menuju kejayaan”
Memandangkan esok adalah 15 Syaaban, maka hanya tinggal lebih kurang 15 hari sahaja lagi untuk sampai ke bulan Ramadhan. Maka saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat yang mulia di luar sana untuk sama-sama kita berazam untuk menjadi ibubapa yang berjaya. Mari kita perbaiki diri & tingkatkan amalan sempena Ramadhan tahun ini.
Kerana, kalau bukan Ramadhan tahun ini, bila lagi kita mahu berazam untuk berubah? Hakikatnya, tiada siapa yang dapat menjamin bahawa kita akan hidup lagi waima dalam Ramadhan tahun ini. Sedangkan kejayaan ini adalah KEPERLUAN kita di dunia, di kubur, di mahsyar, di titian sirat dan untuk terselamat dari seksaan api neraka.
Namun, apa yang penting, kita sudah ada AZAM. Kita sudah ada niat untuk berubah dan menjadi ibubapa yang berjaya.
Mafhum hadis Nabi saw;…..“Sesiapa yang berniat utuk melakukan satu kebaikan dan kemudiannya (atas sebab-sebab tertentu) dia tidak dapat melakukannya, maka Allah swt akan menulis baginya satu kebaikan yang sempurna. Dan jika selepas berniat, dia berjaya melakukan kebaikan itu, maka Allah swt akan menuliskan baginya 10 hingga 700 kebaikan bahkan hingga beberapa gandaan lagi.”(H.R Bukhari)
Atas maksud tersebut, insyaallah, dalam masa 15 hari ini, saya akan cuba untuk mengeluarkan beberapa artikel untuk membantu melengkapkan persiapan ibubapa semua untuk menjadi ibubapa yang berjaya.
Ini bukan sekadar kejayaan biasa, tetapi ini adalah kejayaan yang SANGAT BESAR di sisi ALLAH swt Apabila kita berjaya di sisi Allah swt, maka kita adalah manusia yang berjaya di dunia dan di akhirat. InsyaAllah…
Salam kejayaan buat semua ibubapa yang berazam untuk BERJAYA!
Fii amanillah
0 comments:
Catat Ulasan