Bicara Pahrol Juoi:KUASAI NAFSU, KUASAI DUNIA
“Jika kita menguasai diri, kita akan menguasai dunia,” demikian kata cerdik pandai. Tetapi bagaimana pula kalau kita gagal menguasai diri? Ya, pasti kita pula yang akan dikuasai dunia. Jika demikian amat buruk akibatnya lantaran dunia itu adalah ‘hamba’ yang baik tetapi ‘tuan’ yang sangat jahat. Orang yang berjaya adalah orang yang gigih mencari kebaikan dunia tetapi selamat daripada tipuannya. Firman Allah: “Sesungguhnya tiadalah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya.” (Surah al-An’am 6: 32)
Al-kisah, seorang raja sedang menaiki kuda dengan angkuhnya. Dia terserempak dengan seorang petani yang soleh sedang berjalan kaki. Raja pun bertanya, “siapa kamu?” Petani yang soleh itu menjawab, “aku seorang raja.” Raja tertawa, kemudian terus berkata dengan nada menyindir, “raja kerajaan mana?” Petani menjawab, “raja untuk kerajaan diriku.” Raja terdiam. Dan kemudian petani itu pula bertanya, “adakah tuanku menjadi raja kepada diri sendiri?” Raja terus terdiam kerana faham maksud kata-kata petani yang soleh itu.
Begitulah dalam kehidupan kita sehari-hari. Ramai orang besar yang hakikatnya hanya insan kerdil kerana tidak mampu melawan hawa nafsunya. Kuasa, ilmu, harta dan nama yang tersohor tidak membawa makna dan kebahagiaan dalam hidup sekiranya hidup diperkotak-katikkan oleh hawa nafsu. Hal ini kerana nafsu itu sifat tabiinya hanyalah mengarah kepada kejahatan. Maka hidup seseorang yang dikuasainya hanya akan penuh dengan kejahatan. Jika demikian, mana ada ketenangan dan kebahagiaan? Tidak ada kebahagiaan bagi manusia yang tenggelam dalam kejahatan.
Dikuasai dunia maksudnya, diri kita akan didorong oleh sesuatu yang berbentuk kebendaan, kemasyhuran dan jawatan dalam apa jua fikiran dan tindakan. Ketika itu kita gagal memperalatkan dunia sebaliknya dunialah yang memperalatkan kita. Akibat gagal menguasai dirilah kebanyakan manusia sangat cintakan dunia. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya, manusia itu sangat cintakan mata benda.” (Surah : )
Selain itu cintakan dunia akan menyebabkan manusia cenderung melakukan kejahatan. Sebab itu masyhurlah kata-kata popular dalam kalangan ahli-ahli tasawuf, cinta dunia itu adalah kepala segala kejahatan.
Apabila semua itu terjadi, manusia tidak lagi layak menjadi hamba Allah. Oleh sebab itu, untuk menjadi hamba Allah manusia mestilah menguasai dirinya. Inilah yang dibimbangkan oleh Syeikh Ibn Ataillah dalam al-Hikam menerusi katanya:“Bagaimana akan terang hati seseorang yang segala gambaran dunia itu terpahat dalam cermin hatinya? Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah padahal ia terbelenggu oleh nafsu syhawatnya?
Bicara Pahrol Juoi: Dengan Keyakinan...
Memang benar seperti yang diberitahu oleh Rasulullah SAW, pada akhir zaman orang yang hina (justeru jauhnya hubungan mereka dengan Allah) diangkat dan dimertbatkan ke darjat yang mulia.
Manakala orang yang mulia (kerana akrabnya dengan Allah serta sangat menjaga hukum-hakamNya) telah dianggap hina. Hanya jauhari mengenal manikam – orang yang beriman juga yang menghargai mujahid, syuhada’ dan para solehin.
Justeru, ketika nama dan harta mula melengkari hidupmu… mungkin ketika itu percikan-percikan api jahiliyah mula membakar jiwa mu. Cinta dunia itu kepala segala kejahatan. Bukan mudah untuk meletakan dunia di tangan, iman di hati. Dunia itu umpama gadis yang cantik, di samping kita menjaga agar orang lain tidak menodainya, kita sendiri harus menjaga diri ketika menjaganya.
Ya, berapa ramai orang yang lupa kita terlalu asyik mengingatkan? Berapa ramai yang lalai dengan Allah ketika begitu pantas dan tangkas mengucapkan kalimah cinta-Nya? Mereka hanya umpama tanah yang keras dan kering… mampu menakung air untuk memberi minum orang lain, tetapi hati sendiri gersang dan terbakar kerana kehausan!
Lalu aku ingin mengingatkan diriku dan dirimu… berhati-hatilah ketika berbicara tentang hati. Betapa banyak hati yang lalai kerana dihijab oleh limpahan peringatan. Umpama anak benih yang mati “kelemasan” kerana terlalu banyak disirami air! Atau lilin yang membakar diri… kononnya untuk menerangi orang lain!
Dunia yang diselubungi hedonisme dan materialisme ini tidak sudi berpaling kepada para muttaqin. Dan mereka yang berpegang pada sunnah, akan semakin dilihat asing. Terpinggir. Terpencil… malah dibenci oleh umat Islam sendiri. Para daie yang ikhlas, tidak bermuka-muka… terus bekerja tanpa menggamit nama dan biaya. Mereka hanya mendapat kebahagiaan ketika bekerja tanpa diketahui oleh yang lain. Marilah kita berdoa untuk para mujahidin di seluruh dunia, yang ketika ini sedang dihenyak, dibelasah dan disekat oleh pelbagai tribulasi dan mehnah.
Sesungguhnya, apa yang kita deritai kerana jalan Allah ini… tidak secubitpun jika dibandingkan dengan kesusahan mereka. Berdoalah untuk mereka… agar diberi taqwa, sabar dan kebijaksanaan serta keberanian dalam menghadapi pejuang syaitan (fisabilitthagut). Mudah-mudahan satu ketika nanti, kami yang kerdil ini mampu menyusul dan menyusur jalan-jalan mulia yang kau telah rentas itu.
Untuk mu pengunjung blog, izinkan aku menguruskan beberapa cabaran ketika ini. Insya-Allah, akan menyusul nanti entri yang lebih serius dan menjurus. Namun, sebelum berpisah terimalah dariku sekadar dua tulisan ini sebagai “selingan”.
Bagi mereka yang begitu beria-ria untuk ke hadapan… milikilah dulu jiwa yang kental. Sesungguhnya persediaan akan memantapkan bakat. Kesabaran akan meningkatkan minat. Menulis itu memerlukan keyakinan bukan hanya keringat!
i) PEDANG SAYIDINA ALI
Sayidina Ali punya pedang yang begitu digeruni oleh musuh-musuhnya. Pedang yang bernama Zulfaqar itu sentiasa dibawa bersamanya dalam peperangan-peperangan dengan orang kaum musyrikin. Dan setiap kali membawa pedang itu, Sayidina Ali berjaya mengalahkan musuhnya. Berita tentang kehebatan pedang itu sampai kepada seorang lelaki. Dia juga seorang pejuang Islam. Tertarik dengan berita kehebatan pedang itu, lelaki itu pun datang menemui Sayidina Ali dan berkata,” tolong pinjamkan aku pedang mu yang hebat itu.” Tanpa banyak bicara Sayidina Ali pun meminjamkan pedang itu kepada lelaki tersebut. Lelaki itu sangat gembira. Apabila sahaja terjadi peperangan, dia pun pergi dengan membawa pedang itu sekali. Dia ingin merasai sendiri kehebatan pedang Sayidina Ali itu.
Tidak lama kemudian perang pun tamat. Lelaki itu pulang dengan pedang yang dipinjamkan oleh Sayidina Ali itu. “Nah, ambillah kembali pedang ini,” katanya sebaik menemui Sayidina Ali. “Bagaimana, hebat tak pedang ini?” tanya Sayidina Ali. “Ah, biasa-biasa sahaja. Jika aku tahu begini, tak akan aku pinjam pedang ini daripada mu. Mengapa pedang ini tak sehebat yang diceritakan?” “Kau hanya meminjam pedang, tetapi kau tidak “meminjam” tangan yang memegang pedang itu!” kata Sayidina Ali.
Pengajaran:
Kekuatan utama manusia bukan kepada alat-alat yang digunakannya, tetapi pada dirinya sendiri. Teknologi yang canggih hanya akan membawa kebaikan jika manusia yang menggunakannya memiliki hati yang bersih dan fikiran yang bijak. Di tangan orang yang dungu, teknologi walau secanggih mana pun tidak akan dapat digunakan. Manakala di tangan orang yang jahat, teknologi hanya akan membawa seribu satu kejahatan dan kehancuran.
ii) MISKIN HARTA, MISKIN JIWA
Seorang pendakwah menasihati seorang pengemis yang kelihatan sihat dan kuat untuk kerja yang sangat mengaibkan itu. “Saudara ku, berhentilah daripada menjadi pengemis. Kau masih kuat dan sihat.” “Apa? Saudara rasa kerja mengemis tidak memerlukan tenaga? Dalam satu hari puas saya berjalan ke hulu, ke hilir untuk memohon simpati orang. Kalau saya tak kuat masakan saya dapat menahan panas, hujan dan pelbagai cabaran cuaca ini,” jawab pengemis. “Kerja mengemis ini hina. Hilang maruah diri.” “Siapa kata hina? Inilah kerja yang mulia. Saya menjadi sebab orang lain mendapat pahala. Kekadang saya juga mendapat pahala sabar bila orang caci saya. Pahala syukur bila orang memberi sedekah. Hinakah itu? Saya juga berdoa kepada orang memberi sedekah kepada saya. Hinakah?” Pendakwah terdiam. Dalam diam dia berdoa. Rupanya pengemis itu bukan hanya miskin harta tetapi miskin jiwanya. Alasan untuk malas sentiasa ada. Kreatif betul tipuan syaitan.
Pengajaran:
Malas adalah satu dosa. Ramai yang tidak nampak hakikat itu. Pelbagai alasan diberikan untuk malas termasuk atas hujah dan dalil agama. Kepalsuan yang bersalut kebenaran bukan sahaja mampu menipu orang lain, tetapi paling malang… menipu diri sendiri!
Bicara Pahrol Juoi: Kerana di situlah keindahan hidup...
Ada ketika-ketikanya, kita terasa apa yang dibuatnya serba tidak kena. Pada hari, minggu atau bulan yang malang itu, kecelakaan seolah-olah datang timpa menimpa. Bangun Subuh lewat, baca Quran luput, solat resah, dimarahi oleh bos, duit gaji lambat, bergaduh dengan kawan, tayar motosikal meletup dan macam-macam lagi. Jadi, kalau demikian halnya, apa yang sebenarnya tidak kena? Dan bagaimana hendak membetulkan keadaan? Hendak bermula dari mana? Wah, pening kepala dibuatnya.
Mungkin anda juga pernah mengalami situasi begini, dan tentu sahaja kita tercari-cari panduan bagaimana hendak membetulkan semula semua keadaan yang bercelaru itu? Dalam apa jua keadaan, remaja hendaklah faham bahawa bila keadaan tidak seperti yang diingini, langkah kita bukanlah mengubah keadaan itu tetapi terlebih dahulu mengubah diri kita sendiri. Ramai orang tersilap, justeru mereka hendak mengubah keadaan luaran sebelum mengubah diri sendiri. Sunahtullahnya tidak begitu.
Dalam apa jua kondisi, mengubah diri itu perlu diutamakan kerana itulah yang akan mengubah keadaan yang kita hadapi. Jadi, apabila berdepan dengan masalah kewangan, dimarah ayah-ibu, tayar motor yang meletup, bergaduh dengan kawan-kawan… hendaklah diingat, ubahlah diri kita sebelum cuba mengubah perkara-perkara yang di luar diri kita. Pertama, remaja perlulah memahami bahawa kehidupan ini disusun dengan satu peraturan yang sangat rapi dan saling berkait rapat antara satu sama lain. Peraturan ini dinamakan Sunnatullah. Barat menamakannya ‘law of nature’. Hukum Sunnatullah ini juga dikenali sebagai ‘cause and effect’ (sebab dan akibat). Hukum ini bukan sahaja berlaku dalam bidang fizik, biologi, ekonomi dan lain-lain.
Malah ia juga berlaku dalam putaran kehidupan. Allah swt telah mengaturkan bahawa setiap akibat yang berlaku mesti mempunyai sebab atau punca. Jika seseorang itu bersedih, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan dia bersedih. Jika dia gembira, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan kegembiraan itu. Oleh itu jika kita dapati kehidupan kita seperti serba tidak kena, maka hendaklah kita akui bahawa mesti terdapat sesuatu sebab yang menyebabkan keadaan yang serba tidak kena itu. Sebelum mencari di mana penyebabnya, kita hendaklah terlebih dahulu mengakui akan ujudnya penyebab itu.
Tidak mungkin kita akan menemui sesuatu yang kita cari jika kita menafikan akan kewujudannya. Jadi, langkah awal mengubat sesuatu yang tidak kena ini ialah membuang sikap ego. Maksud ego di sini ialah kita mengatakan atau menganggap tiada ‘penyebab-penyebab’ pada keadaan yang serba tidak kena itu. Ramai antara kita yang merasa ego, dengan berkata, “entahlah… saya tidak tahu apa yang tidak kena lagi, semuanya sudah saya lakukan, tapi gagal juga. Dah nasib…” Atau ada yang berkata, “ tak mungkin jadi begini, semuanya sudah ok sejak mula, tiba-tiba sahaja jadi begini?”
Cakap-cakap yang seumpama ini sungguhpun biasa kita dengar namun, jika diteliti ia jelas bermaksud yang penuturnya seolah-olah tidak mahu mengakui ada kesalahan yang menyebabkan sesuatu yang negatif berlaku. Ada juga orang yang mengakui adanya penyebab-penyebab tertentu tetapi penyebab itu adalah orang lain. Bukan dirinya. Ini juga satu petanda ego. “Saya tidak salah, yang salah bapa saya, kawan saya, motor saya…” Ketahuilah, sikap reaktif ini tidak akan menyelesaikan masalah. Bahkan akan menambah masalah. Apa yang perlu kita cari ialah kesalahan diri kita sendiri.
Kita tidak boleh terus menyalahkan orang lain di atas apa yang menimpa kita. Hidup kita adalah tanggung jawab kita justeru apa yang berlaku dalam kehidupan adalah pilihan kita sebenarnya. Orang boleh menimpakan sesuatu ke atas kita, hanya apabila kita ‘mengizinkan’ ia berlaku. Yang menyebabkan kita susah hati, bukan kemarahan teman-teman, tetapi apabila kita mengizinkan kemarahan teman itu menyusahkan diri kita. Secara pro-aktif, kita boleh memilih respon kita pada sebarang situasi dalam hidup… Bila dimarahi, kita boleh memilih untuk sabar dan berdiam diri, atau marah dan bertindak-balas… terpulang!
Kitalah yang menjadi penyebab utama kepada berlakunya sesuatu akibat. Kita perlu mengetahui, mengetahui dan mencari kesalahan itu dalam diri sendiri. Oleh itu, bila ditimpa masalah maka muhasabah tentang perlakuan kita di semua dimensi. Dimensi hubungan kita dengan Tuhan, manusia, pekerjaan, kewangan, kesihatan, tanggung jawab dan peranan yang telah diamanahkan bagi kita melaksanakannya. Telitilah terlebih dahulu soal-soal besar dalam hidup kita tetapi jangan lupa… soal-soal kecil juga kadangkala memberi impak besar untuk menyumbangkan sesuatu yang tidak kena dalam kehidupan.
Sekali lagi diingatkan, dalam mencari penyebab-penyebab atau punca-punca masalah, kita jangan hanya bertumpu mencari penyebab-penyebab yang besar. Sebaliknya carilah penyebab-penyebab yang kecil-kecil. Kita boleh umpamakan diri sebagai seseorang yang sedang berjalan. Jarang orang terjatuh akibat terlanggar batu-batu besar. Sebaliknya ramai yang terjatuh apabila terpijak batu-batu kecil, kulit pisang dan sebagainya. Penyebab-penyebab yang kecil sebenarnya boleh memberi ‘impak’ atau kesan yang beransur-ansur.
Kita mungkin tidak nampak atau tidak perasan pada awalnya, tetapi secara tiba-tiba sahaja keadaan sudah menjadi buruk. Ingatlah, menyelesaikan masalah harus dilakukan persis bagaimana ia bermula. Contohnya, berat badan kita tidak menambah 10 kilogram dalam jangka masa sehari dua. Tetapi ia bertambah sedikit demi sedikit. Maka, untuk mengatasi masalah berat badan itu, tindakan untuk mengurangkannya pun mesti dilakukan secara beransur-ansur.
Adalah mustahil untuk mengubahnya secara mendadak. Sesuatu yang runtuh secara beransur-ansur perlu dibina secara beransur-ansur juga. Barulah tindakan kita nanti akan berhasil. Misalnya kita menghadapi masalah bajet yang tersasar daripada apa yang ditetapkan. Kita perlu sedar bahawa kebiasaannya ‘terlebih bajet’ ini bukanlah disebabkan ‘kebocoran’ perbelanjaan yang besar-besar.
Sebaliknya ia berpunca daripada sikap tidak mengambil berat perbelanjaan yang kecil-kecil – yakni wang yang kita keluarkan untuk membeli barang-barang yang tidak perlu tetapi murah harganya secara tidak menentu masanya. Perbuatan inilah yang sebenarnya memberi kesan besar yang buruk kepada bajet kita. Tawaran harga murah pada sesuatu barang menyebabkan kita mula hilang pertimbangan dan mula membeli bukan atas dasar keperluan, tetapi sebab murahnya barangan itu.
Begitu juga buat remaja yang menghadapi masalah kegemukan. Kegemukan tidak pernah berlaku secara drastik. Ia berlaku secara beransur-ansur hingga ke satu tahap, barulah kita terkesan bahawa berat badan kita sudah ‘over’. Jangan cuba mengubahnya secara mendadak. Kita pun mula bersenam secara ‘maraton’, menjalani skim diet yang terlalu ketat dan macam-macam lagi tindakan yang agresif dan ekstrem. Apa jadi akhirnya? Kita kecewa, kita mengalah dan akhirnya berputus asa bila melihat kesannya tidak seberapa.
Ya, segalanya perlu diubah secara perlahan-lahan, misalnya dengan mengubah cara pengambilan makanan, menukar kepada menu yang sihat dan bersenam secara ringan tetapi konsisten. Jangan sekali-kali membiarkan perut kosong pada jangka waktu yang lama, ini akan menyebabkan kita mudah mendapat penyakit ulser atau gastrik pula. Oleh itu, bertindaklah secara bijak dan beransur-ansur. Ini lebih ringan dan realistik untuk mengubah keadaan! Seperkara lagi ketika hendak memulakan sesuatu proses perubahan, jangan sesekali kita memikirkan kesempurnaan.
Kelak, kita mungkin tidak akan memulakannya langsung. Oleh itu, bermulalah dengan membuat perkara-perkara yang kecil dahulu. Untuk memperbaharui penampilan diri misalnya, janganlah diharapkan wajah, bentuk dan gaya anda seperti bintang filem dalam masa yang singkat. Anda akan kecewa jika mengimpikan kesempurnaan yang semacam itu. Sebaliknya, buatlah yang terbaik pada skala diri anda sendiri. Jangan bandingkan kita dengan orang lain secara tidak sihat.
Cuba bayangkan penampilan diri sendiri yang paling bergaya, cantik dan menarik – jadilah anda yang terbaik. Itu pun secara beransur-ansur. Jangan mengharapkan kesempurnaan, kerana ini akan membantutkan semangat anda untuk menangani masalah penampilan diri itu. Elakkan daripada cepat berputus asa dan hendak melihat hasil yang segera. Jangan naik anak-tangga secara berlari. Ada kalanya perubahan yang kita telah berbuat itu sudah pun menunjukkan kesannya, cuma ia belum kelihatan.
Konsep ini sama seperti ketika kita hendak mencairkan air batu dengan cara memanaskannya. Menurut hukum fizik, sekiranya mula memanaskannya, molekul-molekul air itu sudah pun bergerak. Tapi sedikit demi sedikit. Pada mulanya ia seakan-akan tidak ada tindak balas tetapi lama kelamaan, air batu tiba-tiba terus retak dan mula mencair. Ya, barulah kesannya nampak, walaupun sejak mula memanaskannya tadi, sebenarnya itu telah pun memberi kesan, cuma tidak nampak…
Ingat, sikap hendak melihat kesan yang cepat menyebabkan kita mudah kecewa dan patah semangat di sekerat jalan. Akhirnya, kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir. Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas. Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja. Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah.
Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan. Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan. Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup.
Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hari… ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar. Dan apabila datang kesedaran, kita tetap tidak alpa… ya, selepas ini akan datang kesusahan. Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah satu perubahan yang berterusan…
Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini. Bila yang dibuat ‘serba tidak kena’ itulah hakikatnya satu kehidupan. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, justeru di situlah keindahan hidup!
BUNGA YG CANTIK JARANG HARUM...
Wanita sinonim dengan kecantikan. Istilah “cermin” dalam bahasa Arab dekat sangat dengan wanita – kerana cermin itu dekat pula dengan kecantikan. Bercermin untuk kelihatan cantik. Ke mana-mana wanita pergi, cermin ada di sisi.
Bagi yang tidak cantik bagaimana? Mereka bukan wanita?
Tunggu dulu, setiap yang Allah cipta pasti indah kerana Allah itu Maha Indah dan suka pada keindahan. Tuhan tidak mencipta manusia hodoh, Tuhan hanya mencipta manusia dengan kecantikan berbeza. Jadi, ingat itu… setiap wanita berhak untuk cantik!
Soalnya, di manakah letaknya kecantikan sebenar pada seorang wanita? Kalau kita tanyakan kepada para lelaki maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan. Ada yang merasakan kecantikan wanitaitu pada wajah, pada bentuk tubuh, pada kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya.
Dan pada yang menyatakan kecantikan pada wajah pula terbahagi kepada pelbagai pandangan, ada yang mengatakan kecantikannya terletak pada hidung, pada mata dan sebagainya. Pendekata kecantikan itu bagi anggapan sesetengah orang sangat relatif sifatnya. Lain orang, lain penilaiannya.
Namun sebagai seorang Islam, kita tentulah ada kayu ukur tersendiri untuk menilai kecantikan. Kita tentunya mengukur kecantikan wanita mengikut kayu ukur Islam. Dan tentu sahaja kecantikan yang menjadi penilaian Islam adalah lebih hakiki dan abadi lagi.
Misalnya, kalaulah kecantikan itu hanya terletak pada wajah, wajah itu lambat-laun akan dimakan usia. Itu hanya bersifat sementara. Apabila usia meningkat, kulit akan berkedut tentulah wajah tidak cantik lagi. Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan yang sejati dan abadi.
Sebagai hamba Allah, kita hendaklah melihat kecantikan selaras dengan penilaian Allah atas keyakinan apa yang dinilai oleh-Nya lebih tepat dan betul. Apakah kecantikan yang dimaksudkan itu? Kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan budi pekerti ataupun akhlak. Itulah misi utama kedatangan Rasulullah SAW – untuk menyempurnakan akhlak manusia.
Kecantikan akhlak jika ada pada seseorang, lebih kekal. Inilah kecantikan yang hakiki mengikut penilaian Allah. Hancur badan dikandung tanah, budi baik di kenang juga. Kecantikan akhlak ini juga adalah satu yang lebih abadi. Kata pepatah lagi, hutang budi dibawa mati. Malah akhlak yang baik juga sangat disukai oleh hati manusia. Contohnya, kalaulah ada orang yang wajahnya sahaja cantik tetapi akhlaknya buruk, pasti dia akan dibenci.
Ya, mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pada fikiran. Nafsu menilai pada bentuk tubuh. Tetapi hati tentulah pada akhlak dan budi. Kecantikan akhlak ini diterima oleh semua orang. Katalah orang jujur, siapapun suka. Semua orang sepakat menyayangi orang yang jujur itu disukai. Sedangkan jika menurut ukuran rupa, penilaian manusia tetap tidak sama. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan, ‘beauty in the eye of beholder’.
Rasulullah saw juga telah pernah menegaskan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Wanita solehah ialah perhiasan rumah-tangga, perhiasan masyarakat dan perhiasan negara. Jika ada ibu yang solehah, anak-anaknya tentu mendapat manfaat. Mereka akan terdidik dengan baik.
Jika ada isteri yang solehah, suami pun akan mendapat manfaat. Para isteri ini akan memudahkan urusan rumah-tangga, menjalinkan hubungan keluargha dengan penuh kasih-sayang dan lain-lain. Tuturkatanya baik, tingkah lakunya baik, senyumannya menawan dan segala-galanya indah… mereka bayangan bidadari syurga di dunia ini.
Kenapa banyak wanita yang memiliki kecantikan tetapi musnah hidupnya? Ada ungkapan yang berbunyi, kemusnahan akan menimpa bilawanita mula merasai dirinya cantik dan mempamirkan kecantikan. Sejauhmana benarnya, wallahua’lam. Tetapi apa yang pasti, menurut Islam jika kecantikan tidak disertai iman yang kuat, maka pemiliknya akan hilang kawalan diri. Akibatnya ramai wanita cantik diperdayakan oleh syaitan untuk menggoda manusia melakukan kemungkaran. Lihatlah di sekeliling kita. Kata orang, bunga yang cantik jarang yang harum! Ini sudah menjadi sesuatu yang lumrah.
Tanpa iman, kecantikan akan dipergunakan ke arah kejahatan dan kemaksiatan, yang akhirnya akan memusnahkan diri pemiliknya dan orang lain. Cuba kita lihat apa yang terjadi kepada bintang filem barat (di sinipun apa kurangnya), ada yang memporak-perandakan negara, rumah-tangga dan berakhir dengan sakit jiwa dan bunuh diri.
Cantik tidak salah, tetapi salah menggunakan kecantikkan itulah yang salah. Kata orang, wanita yang cantik jarang berakhlak. Umpama bunga yang cantik, jarang yang wangi. Tetapi kalau cantik dan berakhlak pula, inilah yang hebat. Umpama cantiknya wanita solehah pada zaman nabi seperti Siti Aishah RA, Atikah binti Zaid dan lain-lain.
Bagaimana mendapat kecantikan sejati? Perlu kita faham kecantikan itu bermula dari dalam ke luar. Bukan sebaliknya. Oleh itu pertama, tanamkan di dalam hati kita iman yang benar-benar kuat berdasarkan ilmu yang tepat dan penghayatan yang tinggi. Iman itu keyakinan, kasih sayang, kemaafan, sangka baik dan reda. Rasa-rasa ini buktikanlah dengan perbuatan yang baik. Bila hati baik, wajah akan sentiasa cantik.
Jadi perkara kedua ialah susulilah iman itu dengan perbuatan yang baik. Ertinya, kita atur kehidupan mengikut syariat atau peraturan Tuhan. Dan apabila iman ditanam, syariat ditegakkan, akan berbuahlah akhlak yang mulia. Wajah, perilaku dan peribadi kita akan nampak cantik sekali. Inilah yang dikatakan kecantikan yang hakiki. Biar buruk rupa, jangan buruk perangai. Apa gunanya mulut yang cantik kalau kita gunakan untuk mengumpat?
Ya, kecantikan akhlak… boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja, oleh yang rupawan mahupun yang hodoh. Itu bukti keadilan Allah yang mencipta wanita dengan berbagai wajah dan rupa… tapi peluangnya untuk “cantik” tetap serupa!
Bicara Pahrol: Ingat Mati Tingkatkan Produktiviti
Saya risau kalau semua orang ingat mati, produktiviti syarikat ini akan menurun,” kata pegawai tinggi sebuah organisasi. Dia begitu sinis sekali dengan ceramah-ceramah yang menyentuh soal mati.
“Kenapa tuan beranggapan begitu?” tanya saya.
“Bila ingat mati, masing-masing fikir diri sendiri sahaja. Mereka akan asyik solat dan zikir wirid sahaja. Mereka akan tinggalkan kerja. Saya tak setuju langsung ceramah tentang mati ni dibuat dalam organisasi ini. Sorry, saya tak setuju!” katanya berterus-terang.
“Saya rasa tidak begitu. Bila semua ingat mati, makin meningkatkan kualiti dan produktiviti syarikat ini,” kata saya.
“ Kenapa pula?” Kali ini dia pula yang bertanya.
“Orang yang ingat mati sedar dia akan menemui Allah,” jawab saya pendek.
“Apa kaitan hal itu dengan produktiviti?”
“Kalau kita sedar kita akan bertemu Allah kita akan memperelok dan memperbanyakkan ibadah.”
“Itu yang saya kata tadi… bila asyik beribadah kita akan lupa dan lalai bekerja. Habislah syarikat ini.”
Saya tersenyum. Dalam hati tertanya-tanya apakah dia belum faham konsep ibadah yang sebenar atau ada masalah lain yang “bermain” di mindanya.
“Tuan, ingin saya ingatkan konsep ibadah itu luas. Ibadah bukan sahaja solat, zikir dan wirid. Kerja juga satu ibadah.”
Dia merenung saya. Saya bersikap biasa-biasa sahaja.
“Maksud awak saya tak faham konsep ibadah?” tusuknya tiba-tiba.
“Saya Cuma mengingatkan. Ibadah itu terbahagi tiga – ibadah asas, ibadah sunat dan ibadah khusus. Ibadah asas itu, solat, puasa, zakat dan lain-lain rukun Islam. Ibadah sunat itu banyak antaranya zikir, wirid, baca Quran, solat dan puasa sunat.”
“Itu saya tahu,” getusnya.
“Manakala ibadah umum pula adalah seluruh aktiviti hidup kita selain ibadah asas dan ibadah sunat tadi. Termasuklah kita bekerja, berniaga, berhibur, bermesyuarat dan lain-lain.”
Tanpa mempedulikan reaksinya saya terus memberi penerangan.
“Tu yang saya kata tadi. Nanti semua tumpu pada ibadah asas, ibadah umum terpinggir. Pekerja kita ni bukan faham sangat konsep ibadah yang berbelit-belit ni.”
“Kitalah yang mesti memahamkan mereka. Ceramah tentang mati ini perlu dibuat selepas ceramah tentang visi dan misi hidup, konsep ibadah, habluminallah, habluminannas,” pujuk saya.
“Saya tak yakin mereka boleh difahamkan. Orang Melayu kita ni bila ingat mati gementar, takut, kecut… saya tak mahu menakut-nakutkan mereka. Kita nak kualiti, kita nak produktiviti. Ingat mati ni soal peribadi, bukan soal organisasi. Dalam organisasi kita bercakap soal keuntungan.”
“Tuan, Islam menganjurkan agar kita ingat mati, bukan takut mati. Yang tuan bimbangkan tu takut mati, bukan ingat mati.”
“ Apa bezanya?” tanyanya. Suaranya mula meninggi.
Saya diam sejenak. Berfikir untuk mengolah kata-kata yang baik. Mengadun antara kebenaran dan kelembutan
“Saya teringat maksud sebuah hadis…” kata saya memulakan penjelasan.
“Awak jangan berselindung di sebalik hadis!”
“Bukan berselindung tuan, tetapi pada siapa lagi yang patut kita sandarkan segala hujah dan pandangan melainkan kepada Rasulullah?” jelas saya perlahan.
“Apa maksud hadis tu? Direct to the point!”
“Orang yang ingat mati akan menyegerakan taubat, meningkatkan ibadah dan tenang dalam hidup. Itu maksud hadis. Sama ada ibadah asas, sunat dan umumnya. Tapi orang yang takut mati, akan hilang semangat untuk hidup. Takut mati menyebabkan mereka juga takut hidup. Hilang daya dan tenaga untuk berusaha.”
“Saya masih bimbang mereka akan takut mati bukan ingat mati.”
Perlahan-lahan saya menggeleng-gelengkan kepala. Sekarang saya mula berfikir, ini masalah dia atau masalah pekerjanya.
“Tuan jangan lupa satu golongan lagi. Mereka tu ingat mati pun tidak, takut mati pun tidak…”
“Ada lagi?”
“Ya, satu golongan lagi adalah mereka yang lupa mati. Golongan ini akan menangguhkan taubat, meremehkan ibadah dan jiwanya sentiasa kacau. Mereka ini sangat benci bila diperingatkan tentang mati kerana itu mengganggu keseronokan mereka melakukan maksiat dan dosa,” ujar saya lagi. Kebenaran itu memang pahit, walau betapa indahnya bahasa kita mengucapkannya.
“Saya masih khuatir mereka akan berkurung di surau, asyik solat, solat duha, doa berjam-jam lamanya. Kerja tertangguh.”
Terkedu saya. Satu kebimbangan yang tidak berasas.
“Kita perlu terangkan kepentingan ibadah umum. Ibadah umum yang kebanyakannya dikategorikan dalam fardu kifayah. Fardu kifayah kedudukannya lebih tinggi daripada ibadah sunat.”
“Maaflah, awak masih berfalsafah. Kita mesti realistik. Syarikat ini sedang mengalami masalah. Produktiviti dan kualiti menurun secara drastik.”
“Mengapa? Apa sebabnya?”
“Culas, curi tulang, pembaziran, rasuah…”
“Tuan, itu semua sikap orang yang lupakan mati,” jolok saya pula.
“Lagi-lagi mati. Kita bercakap tentang hidup sekarang!”
“Bercakap tentang mati akan menyebabkan kita jelas tentang hidup. Persediaan menghadapi mati dibuat semasa hidup. Keadaan hidup selepas mati sangat berkait dengan keadaan hidup sebelum mati!”
“Saya tambah tak faham dengan awak.”
“Maksud saya orang yang curi tulang, culas dan rasuah itu tidak takut dengan dosa. Mereka hanya takut dengan undang-undang dunia. Kalau mereka nampak undang-undang dunia ada kelemahan, kurang penguatkuasaan, maka di situlah mereka ambil kesempatan.”
“Apa kaitan itu dengan mati?”
Lucu. Kali ini dia pula yang mengingatkan saya tentang mati.
“Kalau mereka ingat mati, mereka ingat hari pertemuan dengan Allah di hari akhirat. Di sana segala dosa yang disembunyikan dari manusia dan yang terlepas dari undang-undang dunia akan dipaparkan dengan nyata. Bukan dipaparkan sahaja, bahkan akan beri hukuman dengan api neraka.”
Dia mula diam.
“Di sana nanti Allah akan tanyakan segala-galanya. Tentang solat, tentang kerja, tentang keluarga. Jika semua beres, baiklah keadaan hidup kita di sana. Itu yang saya katakan tadi, keadaan hidup selepas mati sangat ditentukan oleh corak kehidupan kita sebelum mati.”
“Maksud awak keadaan hidup di dunia kita sangat menentukan keadaan hidup di akhirat?”
“Ya, begitulah tuan. Orang yang ingat mati, akan melaksanakan amanah dan tanggung jawabnya dengan baik dalam famili, organisasi dan masyarakat.”
“Saya takut orang yang ingat mati asyik solat sahaja!”
“Asyik solat? Apa salahnya dengan solat?”
“Kalau asyik solat sahaja mana sempat buat kerja?”
Saya macam nak tergelak. Macamlah ramai sangat orang yang solat sampai tak sempat buat kerja. Realitinya, ramai yang bekerja sampai tak sempat solat. Dan lebih ramai orang yang tak sempat buat kedua-dua. Solat tidak, kerja pun tidak. Lalai, leka dan terbuai dengan hiburan semata-mata. Ramai yang curi masa di pejabat kerana leka dengan kerja-kerja luar, buat “direct selling”, “game”, “chatting”, “face book” dan segala macam.
“Saya rasa orang yang solatlah yang paling jujur dan amanah dalam kerja.”
“Mana boleh macam tu…”
“Ini Al Quran kata. Solat itu mencegah dari fahsya’ dan mungkar. Termasuklah mungkar dalam pekerjaan seperti culas, membazir, rasuah, curi tulang dan lain-lain.”
“Saya pernah jumpa orang yang banyak solat tapi rasuah, curi tulang…”
“Tentu ada salah di mana-mana dengan solatnya. Kalau solat tak mencegah kemungkaran, solat itu bukan solat. Ini hadis.”
“Maksud awak?”
“Mungkin solat kerana riyak. Mungkin jahil dengan ilmu solat. Atau tidak mujahadah hingga solatnya dikategorikan sebagai solat orang yang lalai. Khusyuk jauh sekali!”
“Jalan penyelesaian?”
“Perlu diberi ilmu, dididik dan dilatih dengan program solat yang sebenar!”
“Ke situ balik… saya bercakap tentang produktiviti dan kualiti kerja, awak bercakap dengan kualiti solat… Pelik!”
Saya tersenyum. Inilah realiti kefahaman majoriti umat Islam. Amalan Islam dilihat secara terpisah-pisah. Padahal semua amalan Islam itu bersepadu. Yang satu mempengaruhi yang lain. Solat ada impaknya kepada pekerjaan. Membetulkan solat boleh membetulkan pekerjaan. Soal ketepatan waktu, pengurusan masa, amanah, fokus, kebersihan, keikhlasan yang menjadi teras dalam solat seharusnya melimpah kesannya bila kita bekerja.
“Kalau begitu kita perlukan program latihan yang menyentuh soal mati ke, solat ke atau produktiviti? Saya makin keliru sekarang…” kata pegawai tinggi tersebut.
“Ketiga-tiganya sekali. Kita perlu program latihan yang bersepadu. Hingga dengan itu pekerja yang ingat mati akan serius dengan solat dan seterus akan meningkatkan produktiviti dan kualiti pekerjaannya!” jawab saya.
Dia tersentak. Saya semakin yakin, sebelum orang bawahannya menjalani program latihan yang dibincangkan itu… dialah orang yang perlu menjalaninya terlebih dahulu. Ketua yang keliru, akan mengelirukan anak buahnya!
Dari Tinta Genta Rasa: Demonstrasi Melalui Solat Suboh Berjemaah
Dalam buku Misteri Solat Subuh karangan Dr. Raghib As Sirjani menukilkan, “pernah salah seorang penguasa Yahudi menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali satu hal berlaku yakni bila jumlah jemaah solat Subuh menyamai jumlah jemaah solat Jumaat.”
Atas dasar apa dia berkata demikian, tidak pula dinyatakan secara pasti. Namun jika kita sendiri melihat situasi ini lebih dekat, ada logik dan kebenarannya.
Pada tahun 80’an, sewaktu masih menuntut di universiti, terjadi satu tragedi besar dalam dunia Islam. Tentera Soviet Union (yang belum berpecah seperti sekarang) telah menyerang Afghanistan. Pada ketika itu Nur Muhammad Taraki, Babrak Karmal (seingat saya) dan lain-lain tali barut komunis telah menjadi musuh yang “menjemput” tentera Rusia menjajah Tanah Air mereka sendiri. Pelajar-pelajar Islam di universiti tempatan ketika itu telah bangun melancarkan demonstrasi.
Saya masih ingat bagaimana ucapan berapi-api daripada para pemimpin pelajar ketika itu telah membakar emosi dan menimbulkan rasa marah yang amat sangat kepada Komunis Rusia. Bendera Soviet, patung Breznev dan Babrak Karmal telah dibakar. Ucapan yang berapi-api telah disambut oleh jeritan, “Allah hu Akbar! Allah hu Akbar!” telah bergegar di padang tempat kami melakukan tunjuk perasaan.
Rasa-rasanya, kalau dilihat pada semangat yang memuncak, bagaikan semua telah bersedia untuk dihantar ke Afghanistan untuk membantu Mujahidin (waktu itu belum ada Taliban) bagi melancarkan jihad. Bilangan pelajar Islam yang berdemonstrasi saya rasa hampir mencecah ribuan orang.
Keesokan harinya, sewaktu solat Subuh di surau kolej kediaman, saya dapati hanya beberapa kerat pelajar yang datang untuk solat berjemaah. Sangat minoriti, tidak sampai satu saf pun. Ke mana perginya mereka yang bersemangat berapi-api semalam? Tidak ada laungan Allah hu Akbar lagi sekalipun untuk sekadar bertakbiratul Ihram. Dan paling aneh, para pemimpin pelajar yang hebat berpidato itu pun tidak muncul-muncul.
Cuba fikirkan mengapa terjadi demikian? Akan gerunkah musuh Islam kepada umat yang tidak solat Subuh berjemaah ataupun tidak bangun Subuh langsung? Pada hal demonstrasi hakiki yang benar-benar menggerunkan musuh (berdasarkan pengakuan penguasa Yahudi sendiri) ialah solat Subuh secara berjemaah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam.
Tidak salah membakar bendera negara yang menzalimi umat Islam, tetapi alangkah baiknya jika kita terlebih dahulu “membakar” selimut syaitan yang menghalang kita bangun untuk solat Subuh berjemaah? Tidak salah bertempik dan bertakbir bagi menunjukkan kemarahan kita terhadap musuh Islam, tetapi alangkah baiknya jika suara itu digunakan juga untuk bertabiratul Ihram dalam solat Subuh secara berjemaah?
Hemm, mampukah orang yang “liat” bangun Subuh berjemaah demi cintanya kepada Allah berangkat ke medan jihad untuk memerangi musuh Allah??
Ada tokoh yang hebat yang begitu menarik kata dan ucapannya tentang Islam… begitu indah, bersemangat dan menyentuh. Tetapi apakah ertinya jika dia melazimi tidak hadir ke masjid untuk berjemaah Subuh? Atau figur ekonomi Islam yang berjaya membentang segala perancangan dan strategi muamalat Islam tetapi liat melangkah kaki menyertai solat Subuh berjemaah. Atau seorang yang begitu menonjol sekali dalam melahirkan produk-produk serta perkhidmatan Islam, tetapi hanya “kadang-kadang” dan “jarang-jarang” menyertai solat berjemaah Isyak dan Subuh!
Marilah kita renungi dua hadis ini:
1. Rasulullah saw telah bersabda:
“Barangsiapa yang solat Isyak berjemaah maka seakan-akan dia telah solat separuh malam. Dan barang siapa solat Subuh berjemaah (atau dengan solat Isyak seperti yang tertera dalam hadis Abu Daud dan Tirmizi) maka seakan-akan dia telah melaksanakan solat malam semalam penuh.” (HR Muslim).
2. Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya dua solat ini (Subuh dan Isyak) adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya, apabila mereka mengetahui apa yang ada dalam solat Subuh dan Isyak, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (HR Ahmad dan An Nasai’)
Kualiti Jiwa Vs Kuantiti Harta

Ramadhan telah berlalu, dan kemudian bertamu pula Syawal. Saat-saat ini sesungguhnya menghadiahkan detik yang indah untuk terus bermuhasabah. Beberapa purnama lagi tahun baru akan menjengah, apakah pecutan diri menuju taqwa semakin goyah atau semakin gagah? Ya, hakikatnya hidup perlu dijalani dengan semangat “sentiasa bersedia untuk mati”. Bila hati benci mati, itu petanda jelas bahawa aku dan kamu belum mencintai Ilahi…
Apakah cukup hanya dengan keluhan? Padahal hidup memerlukan kayuhan. Kayuhan amal yang tidak putus-putus dan tanpa jemu-jemu. Kita boleh senyum ketawa dan mesra ketika bersama manusia, namun jauh di sudut hati, biar tetap sedih dan merintih kerana mengenangkan dosa lampau, dosa kini dan dosa akan datang. Sesekali kita boleh tertawa dengan kebodohan diri, tetapi lama kelamaan jika kebodohan itu berulang, hati akan terdera oleh satu pertanyaan: Bilakah lagi aku akan matang?
Malam yang dulu tidurku terganggu. Kira bicara hati tidak menentu. Walaupun yang kukira adalah wang-wang pada nisab dan haul menjelang hujung tahun… tetapi hakikatnya yang kutimbang adalah soal hati. Hati yang masih tamak. Hati yang hanya ingin menerima tetapi begitu sukar memberi. Yang kucongak adalah zakat. Namun hakikatnya, neraca muhasabah ini ialah antara mahmudah dan mazmumah. Aku boleh menipu angka dan timbangan, tetapi mampukah aku menipu diri sendiri? Lebih-lebih lagi mampukah aku menipu Ilahi?
Yang paling penting dalam hidup ini ialah punya hati yang qanaah – hati yang berpada-pada dengan apa yang ada. Sedikit, mencukupi. Banyak, boleh diagih-agihkan. Pernah aku berjanji dengan diri sendiri, agar menjaga keinginan agar tidak melewati batas-batas keperluan. Jangan sekali-kali terjerumus ke jurang pembaziran. Keinginan yang melampaui batas, jika tidak dapat dikawal akan mengundang resah jiwa. Gejolaknya akan terus mengganggu. Sedikit tidak cukup, banyak tidak puas. Aku pernah tersiksa kerana itu!
Kemudian aku tersedar… bahawa kekayaan sebenar bukanlah kerana ‘memiliki’. Kekayaan sebenar bila tidak ‘dimiliki’. Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya. Benar, milik Allah segala yang ada. Tetapi bukan kerana itu DIA digelar Al Ghani – Yang Maha Kaya. Allah itu Maha Kaya kerana DIA tidak memerlukan segala sesuatu, sebaliknya segala sesuatu yang memerlukan-Nya. Begitulah manusia. Jika inginkan kekayaan sejati, kurangkanlah keperluan terhadap dunia dan manusia … bukan dengan meningkatkan keperluan kepada keduanya.
Pernah aku temui orang kaya yang memilki harta berjuta. Segala-galanya bagai berada di hujung jarinya. Kereta, rumah, hartanah dan wang simpanannya berjuta-juta. Tetapi alangkah sedih, dia begitu miskin di sudut jiwanya. Keinginannya pada dunia sentiasa meluap-luap. Ingin itu, ingin ini. Selepas satu, satu pula keinginannya. Jiwanya sentiasa resah. Dia umpama meneguk air laut, makin banyak diminum semakin haus. Pantang ada kereta model terbaru… dia resah. Pantang ada hartanah yang nak dijual… dia gelisah. Oh, alangkah siksanya sikaya yang hidup dalam kemiskinan itu.
Lihatlah perancangan kewangan musim yang lalu. Betapa kekadang berlaku sesuatu di luar di luar dugaan. Disangka cukup, tiba-tiba mengurang. Dijangka sempit, tiba-tiba lapang. Tidak salah merancang di batas tadbir… tetapi segalanya terlaksana di alas takdir. Sebab itu pasakkan ke dalam hati selalu, Allah itulah Ar Razzak – Maha Pemberi Rezki – yang mampu memberi melalui jalan-jalan yang misteri. Jalan yang tidak mampu dijangkau oleh akal yang terbatas, justeru upaya-Nya yang Maha Luas.
Wahai diri yang bakhil, keluarkanlah hak orang lain yang kau anggap hakmu. Jangan jadi seperti Qarun yang menganggap kekayaan diri kerana kepandaiannya. Ya, kau yang memerah keringat. Ya, kau yang penat berfikir. Tetapi dengan tenaga siapa kau berusaha? Tangan, kaki, bahu dan segala pancainderamu itu milik siapa? Kau bukan pemiliknya. Kau hanya peminjam… Begitu juga dengan akal, hati dan perasaan yang kau gunakan untuk berfikir, merasa dan bertindak… milik siapa segalanya? Bukankah segalanya milik Allah?
Oh, rupanya aku sering terlupa bahawa usahaku semuanya, segalanya, adalah dengan ‘modal pinjaman’. Aku perlu membayarnya. Kepada siapa? Kepada Allah? Ah, Dia Maha Kaya. Dia tidak memerlukan apa-apapun daripada hamba-hamba-Nya. Namun, Allah memerintahkan agar ‘modal pinjaman’ itu dipulangkan kepada hamba-hamba-Nya yang memerlukan. Itulah golongan 8 – asnaf zakat yang memerlukan. Merekalah pemilik yang berhak ke atas harta Allah yang dipinjam oleh Sikaya. Lalu aku akur, ya Allah alangkah berdosanya aku. Aku masih tamak, aku masih rakus. Bagaikan akulah pewaris harta Qarun nan sejati – hati yang sentiasa merasa miskin!
Dulu, aku pernah menjerit kerana tidak cukup. Tapi kini aku menjerit kerana ingin lebih. Ah, apakah esok aku akan terus menjerit kerana tidak puas? Wahai diri, milikilah kematangan rasa. Jangan sekali-kali bertindak ‘terlalu’. Samada terlalu ‘mahu’ atau terlalu ‘benci’. Kesederhanaan itu selalu menyelamatkan. Ingat selalu pesan Al Quran, tangan jangan terlalu dibukakan… tetapi jangan pula terlalu digenggamkan. Titik tengah antara boros dan bakhil, itulah pemurah.
Jika wang boleh menyuburkan kasih-sayang, hulurkanlah. Jangan lokek ‘memeriahkan’ persaudaraan. Bukan Rasulullah SAW pernah bersabda sedekah terbaik ialah yang didahulukan kepada kerabat terdekat. Tetapi ingat, bukan wang itu yang mempertautkan persaudaraan… tetapi hati yang jujur. Kejujuran mampu ‘membeli’ kasih-sayang lebih dari jumlah wang yang aku miliki… Aku tidak ingin menjadi pewaris hati Qarun!
Antara kualiti jiwa dan kuantiti harta sering diri alpa dan terkesima. Jiwa dibiarkan buruk dan gelap, badan kereta pula yang asyik dilap dan digilap. Rumah ditukar langsir, dicat baru dan dihiasi perabot pelbagai jenama, tapi sayang… jiwa berterusan terus kusam, kelam dengan mazmumah yang terus bermaharajalela.
Duhai diri, apakah kamu lupakan mati? Di mana Qalbun Salim (hati yang sejahtera) yang menjadi penjamin mu di Hari yang tidak berguna semua saudara dan segala harta? Ya Allah, uzlah aku dari kejahatan diri agar tidak menjangkiti orang lain. Qanaah aku agar tidak hasad pada nikmat yang diberi kepada yang lain. Sabar aku dengan karenah insan yang menjadi “bahan uji”Mu untuk mendidik aku. Syukur aku pada nikmat yang ada tanpa mengenang apa yang tiada. Pemaaf aku pada kejahatan insan sebagai karma kejahatanku pada mereka.
Ya Allah, aku belum sampai… tetapi sungguh, aku telah mulakan perjalanan. Walau susah sungguh, untuk pasrah padaMu, penuh seluruh! Lihat aku, kesihanilah aku, kutip aku… wahai Al A’fu.
Sumber Genta Rasa
Minda Pahrul Juoi: Menilai diri dan amalan puasa kita
Bagaimana kalau kereta yang kita pandu rosak “brek”nya? Sangat merbahaya. Kita boleh terbabas, terjunam dan berlanggar sebaik sahaja mula bergerak. Maka begitulah puasa dalam hidup kita – fungsi utamanya menahan (brek). Puasa itu daripada perkataan saum – ertinya menahan. Apa yang kita tahan? Ya, nafsu kita. Nafsu yang asalnya jahat, tetapi mesti kita uruskan kerana ia mempunyai fungsi yang penting dalam kehidupan. Nafsu itu mesti kita kawal, bukan sebaliknya. Kemampuan mengawal nafsu inilah umpama brek pada kenderaan diri kita.
Dan mekanisma latihan untuk mengawal hawa nafsu ini ialah puasa. Jika kita bebar-benar berpuasa, insya-Allah, kita akan mempunyai kekuatan dan kemampuan mengawal hawa nafsu – yang menjadi punca segala sifat buruk dan jahat (mazmumah). Nafsulah yang bersaing dengan akal untuk menguasai hati. Jika nafsu tidak terkendali, akal akan kalah dan hati akan ditawan. Maka tegaklah kerajaan Tirani dalam diri kita. Penzaliman, kejahatan dan kerakusan akan bermaharajalela. Syukur, Allah kurniakan kita puasa… jika tidak kita akan terkapa-kapa, diperbudakan oleh hawa nafsu ke arah kehancuran. Bukan sahaja di akhirat, malah di dunia lagi.
Kita mesti gulingkan kerajaan tirani dalam diri. Kita mesti laksanakan revolusi malah perang habis-habisan. Jika tidak segala sumber yang ada pada diri akan dilaburkan kepada kejahatan. Segala kekuatan dan upaya akan terarah kepada kemungkaran. Mari kita gulingkan kerajaan tirani ini. Mari kita berperang habis-habisan dengan nafsu di Ramadhan ini.
Ya, Ramadan datang lagi. Ahlan wasahlan. Masyarakat Islam menyambut Ramadhan dengan tanggapan yang berbeza berdasarkan keyakinan, tanggapan dan tahap ilmu masing-masing. Ada yang melihat di sudut kewangan, bagaimana Ramadhan boleh menambah atau mengurangkan pendapatan? Ada pula yang melihat di sudut kesihatan, bagaimana puasa mempengaruhi kesihatan tubuh badan? Manakala ada pula yang memandang di sudut pahala dan dosa, berkat dan fadhilat, rahmah dan maghfirah. Pandangan-pandangan secara langsung akan membentuk sikap dan perlakuan kita bukan sahaja pada bulan yang mulia itu, tetapi juga pada bulan-bulan yang lain.
“What you see is what you get”. Maksudnya, apa yang kita lihat menentukan apa yang akan kita dapat. Jadi kesan dan manfaat puasa bergantung kepada cara kita melihatnya. Jika pandangan kita mengenai puasa tepat, maka kita akan mendapat hasil yang tepat juga.
Belajar erti ikhlas
“Mari ku ajarkan mu tentang ikhlas,” kata seorang guru kepada muridnya.
“Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya.”
“Tak payah, bawa sahaja karung guni.”
“Karung guni?” soal anak muridnya, seperti tidak percaya.
“Mari kita ke pasar!”
Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.
“Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu,” kata guru itu memberi arahan.
Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.
“Cukup?”
“Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik.”
Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.
“Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?”
“Tidak. Bukankah karung guni mu telah penuh?”
“Ya, ya…” kata murid itu sambil memikul guni yang berat itu kelelahan.
“Banyak beli barang,” tegur seorang kenalan apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi penuh dengan batu-batu.
“Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli,” bisik orang lalu-lalang apabila melihat guru dan anak murid tersebut.
“Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu,” kata orang yang lain.
Sampai sahaja di tempat tinggal mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi.
“Oh, letih sungguh… apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni Tok?”
“Tak buat apa-apa.”
“Eh, kalau begitu letih sahajalah saya,” balas anak murid.
“Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas…”
“Bagaimana?” tanya anak murid itu kehairanan.
“Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal.”
“Dengan memikul batu-batu ini?”
“Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan tetapi hanya batu-batu…”
“Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?”
“Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat…”
“Ya, sekarang saya sudah faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!” ujar murid itu. Sekarang dia sudah faham apa akibatnya RIYAK dalam beramal.
Pengajaran:
Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian orang. Padahal kata pujian daripada orang-orang itu tidak akan memberi manfaat pun kepadanya pada hari akhirat. Malah, mengharap pujian daripada manusia hanya akan menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia, terseksa di akhirat.
Musim Cinta Kian Berlalu

Seorang isteri mengeluh mengapa suaminya sudah semakin jarang mengirim pesanan ringkas berisikan kata-kata cinta, sayang, rindu seperti mula-mula kahwin dahulu. Kalau adapun tidak sehangat dan sekerap dulu. Mungkin hanya sepatah OK, “ya” atau “tidak” sahaja yang tertera di layar telefon bimbit. Apakah dia sudah jemu? Atau cintanya sudah berkurang? Begitulah detik hati si isteri. Kadang-kadang suami sudah semakin mahal dengan senyuman. Kata-katanya boleh dikira. Sudah banyak diam. Pujuk rayu? Ah, jauh sekali.
Memang begitulah resmi lelaki, semakin banyak bebanan semakin sedikit luahan perkataan. Kesukaran kekadang menimbulkan kebisuan. Itu petanda ketenangan semakin dihakis. Dihakis oleh cabaran kehidupan. Menjadi seorang suami bererti mengucapkan selamat tinggal kepada alam bujang yang penuh kebebasan dan serba boleh. Jika tidak pandai mengawal hati, mengurus emosi… semakin bertambah usia perkahwinan, hidup akan menjadi semakin sunyi.
Namun, saya sedar apa yang saya tulis ini kemungkinan akan dicebikkan oleh pasangan yang sedang hangat bercinta. Mana mungkin pasangan yang begitu setia berSMS (kekadang sampai mencecah 100 kali sehari!) atau “bergayut” berjam-jam lamanya di gagang telefon boleh menjadi beku dan kaku seperti itu. Tidak mungkin “kami” ataupun aku jadi begitu. Mungkin itulah yang berbunga di hati kini. Tetapi nanti dulu, pesan saya cinta itu pasti diuji.
Seorang sahabat saya secara bergurau menjelaskan betapa mulut seorang wanita semakin becok apabila berumah tangga, sebaliknya mulut seorang lelaki menjadi semakin terkunci bila bergelar suami. Mengapa? Menurutnya lagi, isteri yang mula diasak oleh kesibukan tugas sebagai suri rumah (lebih-lebih lagi apabila menjadi seorang ibu), akan banyak bercakap, mengarah, menegur itu dan ini. Jika tidak dikawal, seorang isteri boleh bertukar daripada seorang wanita penyengap menjadi peleter yang tidak pernah rehat.
Manakala suami yang dahulunya begitu besar ketawa dan lebar senyumnya, perlahan-lahan menjadi seorang pemenung dan pendiam. Kesukaran tugas dan beban tanggung-jawab menyebabkan seorang lelaki banyak berfikir dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah. Ya, potensi lelaki menjadi “ahli falsafah” semakin menyerlah apabila menjadi seorang suami apatah lagi menjadi seorang ayah!
Rupa-rupanya ketawa yang lebar dahulu bukan kerana benar-benar gembira tetapi kerana belum mengenal erti kesusahan. Begitu juga yang senyap dahulu bukan kerana benar-benar pemalu tetapi kerana belum dicabar kesibukan dan cabaran tugasan. Hakikatnya, lelaki dan wanita sama-sama teruji di dalam sebuah gelanggang mujahadah yang dinamakan sebuah rumah tangga.
Musim cinta sudah berlaku. Tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa perlahan-lahan bertukar menjadi taufan. Jika tidak bijak dan sabar mengawal kemudi hati, pasti tersungkur peribadi dan runtuhlah pertautan dua hati. Benarlah kata hukama, perkahwinan boleh dimulakan oleh sebuah cinta, tetapi hanya disempurnakan oleh satu tanggung jawab.
Apa maksud tanggung jawab? Ia adalah satu beban, tugasan atau amanah yang mesti kita “tanggung” di dunia, “disoal” di akhirat dan mesti kita jawab di hadapan Allah SWT kelak. Sekalipun badai ujian rumah tangga ada kala begitu dahsyat, tetapi kita akan teruskan juga demi satu tanggung-jawab. Kita sedar bahawa menjadi seorang suami mahupun seorang isteri bukan hanya untuk menikmati keseronokan dan kemanisan yang diingini oleh fitrah setiap manusia tetapi yang lebih penting berkahwin itu adalah perintah dan amanah daripada Allah.
Telah sering kita diingatkan, bahawa untuk mengukuhkan hubungan antara makhluk (dalam konteks ini antara suami dengan isteri), Khalik (Allah) wajib menjadi matlamatnya. Begitu juga dengan perkahwinan, matlamatnya ialah mencari keredaan Allah. Rumah tangga hakikatnya adalah satu gelanggang ibadah untuk meraih pahala dan keredaan-Nya. Bukan cinta isteri atau cinta suami yang menjadi matlamatnya, tetapi itu hanya alat. Alat yang digunakan untuk mencapai matlamat. Ertinya, cintakan suami dan isteri mesti berdasarkan rasa cinta kepada Allah. Bila ini menjadi asas dan terasnya, maka itulah yang dikatakan bercinta dengan rasa tanggung jawab.
Cinta tidak boleh terpisah daripada tanggung jawab. Gabungan keduanya yang melahirkan rumah tangga yang bahagia. Jika ada cinta tetapi tidak ada rasa tanggung jawab, lambat laun cinta akan meluntur dan rumah tangga akan terkubur. Sebaliknya, jika ada tanggung jawab tetapi tidak ada rasa cinta, maka hilanglah seri dan kemanisan sebuah rumah tangga… umpama hidup segan, mati tak mahu.
Ketika kemanisan bertukar pahit, ketika keseronokan beralih kepada kesukaran, maka tinggallah rasa tanggung jawab untuk menyempurnakan sebuah perkahwinan. Ketika itu rasa cinta mungkin sedikit terumbang-ambing atau seakan-akan mula meminggir, tetapi rasa tanggung jawablah yang akan mengikatnya kembali dengan setia dan sabar. Genggam bara api biar sampai jadi arang. Begitulah kekuatan satu tanggung jawab, yang mampu bertahan ketika cuaca rumah tangga tenang ataupun bergelombang.
Salah satu ujian terbesar dalam rumah tangga ialah terserlahnya warna sebenar pasangan kita. Saat itu akan tiba. Dan jangan terkejut jika kita dapati dia seolah-olah insan lain yang belum pernah kita kenali. Hairan melihat perubahannya? Jangan, kerana dia pun hairan juga melihat perubahan kita. Hakikatnya, kita dan dia sama-sama berubah. Warna sebenar (true colours) yang menurut pakar-pakar psikologi hanya akan muncul apabila mencecah lima tahun usia perkahwinan.
Justeru, jangan sekali-kali kita merasakan sudah kenal dengan pasangan kita walaupun telah lama hidup bersama sebagai suami isteri. Proses perkenalan antara sesama pasangan mestilah diusahakan dan diteruskan secara konsisten. Ini adalah satu langkah ke arah pengukuhan cinta dalam rumah tangga. Bukankah tak kenal maka tak cinta? Jadi, apabila cinta tergugat, itu adalah petanda yang menunjukkan proses pengenalan juga telah terencat.
Oleh itu, tunggu apa lagi? Teruskanlah berkenalan dengan pasangan anda dengan cara bertanya, berkongsi, meluahkan dan meminta pandangan. Jangan sekali-kali menggunakan “fail lama” untuk mencipta keserasian baru. Terimalah hakikat bahawa kesukaan, minat, hobi dan kecenderungan pasangan kita berubah. Warna yang terang kesukaannya dahulu mungkin bertukar menjadi warna redup seiring pertambahan usianya kini. Mungkin corak seleranya juga turut berubah bersama penyakit fizikalnya yang mula singgah. Begitu jugalah dengan apa yang gemar ditonton, didengar, dilihat dan dirasainya. Mungkin jauh berbeza daripada saat mula-mula kahwin dahulu.
Membina cinta ketika tarikan fizikal dan keinginan seksual sudah menurun memerlukan keikhlasan. Di mana lagi sumber keikhlasan jika tidak kembali kepada iman? Ertinya, kembali kepada Allah. Percayalah keadaan yang serba-serbi tak kena, hilang tumpuan, kurang selera makan, tidak ada “mood” untuk bercerita dan berbicara adalah bukti terhakisnya ketenangan dalam hati. Dan itu semua adalah berpunca darinya lalai dan alpanya hati daripada zikirullah (mengingati Allah). Firman Allah: “Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” Ar Ra’d: 28
Iman dalam hati akan menyebabkan suami dan isteri saling bertanggung-jawab. Walaupun berat terasanya mulut untuk berbual dengan isteri akibat beban masalah menyara rumah tangga, namun digagahi jua oleh kesedaran kata-kata yang baik itu adalah satu sedekah. Walaupun terasa sukarnya mengukir senyuman di hadapan suami bahana kerenah anak-anak, tetapi isteri yang beriman terus bermujahadah… dan terus tersenyum di hadapan suaminya justeru menyedari senyuman itu adalah satu sunah. Sedekah dan sunah yang dilakukan oleh suami dan isteri inilah yang menurunkan sakinah dan mawaddah dalam sebuah rumah tangga.
Ya, bila musim cinta sudah berlalu, semailah “pohon” tanggung jawab. Insya-Allah, musim cinta akan kembali dan ketenangan dan kebahagiaan akan kembali harum dan mewangi!
Tip untuk bertanggung jawab:
Kenangkan selalu bahawa isteri atau suami kita adalah milik Allah bukan milik kita.
Dalam apa jua perselisihan, carilah di mana kedudukan syariat dalam hal itu.
Sentiasa bermuzakarah dalam membuat keputusan.
Sering melakukan solat istikharah dan hajat dalam menghadapi sesuatu ujian.
Bayangkan pertemuan yang indah dengan semua anggota keluarga di syurga nanti apabila masing-masing bertanggung jawab dengan perintah Allah.
Takutkan neraka dan bimbangkanlah seksanya jika mengabaikan tanggung jawab.
Bila suasana terlalu sukar, bisikan di hati… itu semua sementara, pertolongan Allah sudah dekat.