Jumaat, 28 Mei 2010 0 comments

Benarlah ALLAH ITU MAHA PENGASIH & PENYAYANG

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam
dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu
dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya
Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar
seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat
dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan
seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini
masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika
hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca
sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada
anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah
hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun
yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan
risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada
pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih
ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari
siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula
mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di
rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar
dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun
sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi,
mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil
keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling
bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya " Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini
yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk
pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan
dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi
saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap
anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu
lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba
loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa
pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi
lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini
setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi
ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf
saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah
yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu
dan terus baca risalah itu setiap muka surat . Akhirnya kerusi dan tali yang
hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi
hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini
dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat
kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada
selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang
berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah
yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang

Jumaat, 21 Mei 2010 0 comments

Bicara Pagi Jumaat : Syarat Menjadi Isteri Solehah

Menjadi wanita solehah akhir zaman ini satu perkara yang tidak mudah, tetapi ia bukan satu yang mustahil.

Untuk menjadi isteri yang soleh, seorang mesti ada tujuh syaratnya :-

1. Mesti ada hidayah dari Allah

Hidayah merupakan anugerah Allah. Sekali pun seorang yang duduk di samping suami yang soleh, jika tidak ada hidayah maka seorang itu tidak akan menjadi orang yang baik. Jika seorang itu diberi hidayah oleh Allah, sekalipun dia duduk di samping suami yang jahat, dia tetap baik seperti Siti Asiah. Di dalam al-Quran Allah telah menceritakan hal ini [2]:-

Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): "Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)".

2. Mesti ada niat untuk menjadi isteri yang solehah

Niat memainkan peranan yang penting di dalam menjadikan seeorang itu baik atau tidak. Jika seorang itu tidak pernah berniat menjadi baik, maka dia tidak akan dapat merubah dirinya ke arah yang lebih baik. Di dalam al-Quran Allah menyebutkan bahawa :-[3]

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri

3. Mesti taat kepada suami

Mentaati suami merupakan perkara yang wajib selagi tidak melanggar syariat Allah. Di dala hadith Rasullullah S.A.W telah menyatakan [4]

Dari Ibnu Umar R.A dari Nabi S.A.W dia telah berkata, mendengar dan taat adalah hak (yang perlu ditunaikan) selagi tidak diperintahkan untuk maksiat, apabila telah disuruh kepada maksiat maka tiada lagi hak mendengar dan taat

4. Mesti ada sifat-sifat isteri yang solehah

Isteri yang soleh mempunyai sifat-sifat keibuan walaupun terhadap suami. Ia membelai, mendengar, menghargai dan berada di sisinya seolah-olah telah cukup segala yang ada. Rasullullah menggambarkan keadaan isteri yang sebegini dengan hadithnya yang berbunyi :[5]-

Dari Abdullah bin Amru bahawa Rasullullah S.A.W telah bersabda, dunia itu merupakan perkara yang menyejukkan, dan sebaik-baik perkara yang menyejukkan adalah perempuan yang solehah

5. Mesti ada amalan-amalan isteri yang solehah

Isteri yang solehah akan membuat perkara-perkara yang menyenangkan suaminya. Di dalam satu haditu Rasullullah S.A.W telah bersabda [6] :-

Dari Abi Ummah dari Nabi S.A.W bahawasanya baginda bersabda, tiada perkara yang paling menyenangkan bagi seorang mukmin selepas taqwa yang lebih baik dari seorang isteri yang solehah. Jika dia menyuruhnya isteri itu akan mentaatinya jika dilihat padanya maka isterinya itu amat menyenangkannya dan jika dia memberi isterinya itu akan menghargai dan jika dia tiada isterinya itu akan menjaga diri dan hartanya.

6. Mesti meletakkan Allah s.w.t dan Rasul sebagai sebagai cinta pertama

Perkara ini perlu kerana jika seseorang mencintai suaminya lebih, jika tiba-tiba suaminya itu berbuat sesuatu kesalahan atau kekurangan, maka dia boleh melawan dan derhaka kepada suaminya itu, sedangkan dia taatkan suami bukan kerana suami tetapi kerana Allah yang menyuruhnya. Banyak orang yang menderhakai suami di atas alasan jahatnya suami.

Yang kita mahu adalah keredhaan Allah. Oleh yang demikian kita taat suami kerana mahukan kasih sayang Allah, nanti Allah akan anugerahkan kasih sayang suami itu sampai akhirat. Di dalam al-Quran Allah ada menyatakan [7]:-

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani

7. Berdoa

Hidup kita tidak boleh lekang dengan doa. Kepentingan doa menjadi orang yang baik amat perlu. Ia perlu dipohon setiap hari. Oleh kerana pentingnya doa ini, Allah telah mewajibkan kita membaca satu doa setiap kali kita bersembahyang. Jika kita tidak membaca doa ini, maka tidak sah sembahyang kita. Doa itu berbunyi :-[8]

Tunjukilah kami jalan yang lurus

Oleh yang demikian, untuk menjadi isteri yang solehah, seorang isteri itu perlu mendoakan dirinya. Bagi seorang suami pula, mereka perlulah mendoakan isteri mereka agar menjadi isteri yang solehah.

Jika orang tua-tua kita pernah berkata, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, maka saya ingin menambah, sayangkan isteri doa-doakan.

Ini kerana, doa suami akan membantu perubahan diri isteri dalam usaha mereka untuk menjadi isteri yang solehah.


[1] hadith riwayat Muslim

[2] Surah at-Tahrim ayat 10

[3] Surah ar-Ra’du ayat 11

[4] Hadith riwayat al-Bukhari

[5] Hadith riwayat Muslim

[6] Hadith riwayat Ibnu Majah

[7] Surah Ali-Imran ayat 31

[8] Surah al-fatihah ayat 6

Selasa, 6 April 2010 0 comments

Bicara Pahrol Juoi: Dengan Keyakinan...

Memang benar seperti yang diberitahu oleh Rasulullah SAW, pada akhir zaman orang yang hina (justeru jauhnya hubungan mereka dengan Allah) diangkat dan dimertbatkan ke darjat yang mulia.

Manakala orang yang mulia (kerana akrabnya dengan Allah serta sangat menjaga hukum-hakamNya) telah dianggap hina. Hanya jauhari mengenal manikam – orang yang beriman juga yang menghargai mujahid, syuhada’ dan para solehin.

Justeru, ketika nama dan harta mula melengkari hidupmu… mungkin ketika itu percikan-percikan api jahiliyah mula membakar jiwa mu. Cinta dunia itu kepala segala kejahatan. Bukan mudah untuk meletakan dunia di tangan, iman di hati. Dunia itu umpama gadis yang cantik, di samping kita menjaga agar orang lain tidak menodainya, kita sendiri harus menjaga diri ketika menjaganya.

Ya, berapa ramai orang yang lupa kita terlalu asyik mengingatkan? Berapa ramai yang lalai dengan Allah ketika begitu pantas dan tangkas mengucapkan kalimah cinta-Nya? Mereka hanya umpama tanah yang keras dan kering… mampu menakung air untuk memberi minum orang lain, tetapi hati sendiri gersang dan terbakar kerana kehausan!

Lalu aku ingin mengingatkan diriku dan dirimu… berhati-hatilah ketika berbicara tentang hati. Betapa banyak hati yang lalai kerana dihijab oleh limpahan peringatan. Umpama anak benih yang mati “kelemasan” kerana terlalu banyak disirami air! Atau lilin yang membakar diri… kononnya untuk menerangi orang lain!

Dunia yang diselubungi hedonisme dan materialisme ini tidak sudi berpaling kepada para muttaqin. Dan mereka yang berpegang pada sunnah, akan semakin dilihat asing. Terpinggir. Terpencil… malah dibenci oleh umat Islam sendiri. Para daie yang ikhlas, tidak bermuka-muka… terus bekerja tanpa menggamit nama dan biaya. Mereka hanya mendapat kebahagiaan ketika bekerja tanpa diketahui oleh yang lain. Marilah kita berdoa untuk para mujahidin di seluruh dunia, yang ketika ini sedang dihenyak, dibelasah dan disekat oleh pelbagai tribulasi dan mehnah.

Sesungguhnya, apa yang kita deritai kerana jalan Allah ini… tidak secubitpun jika dibandingkan dengan kesusahan mereka. Berdoalah untuk mereka… agar diberi taqwa, sabar dan kebijaksanaan serta keberanian dalam menghadapi pejuang syaitan (fisabilitthagut). Mudah-mudahan satu ketika nanti, kami yang kerdil ini mampu menyusul dan menyusur jalan-jalan mulia yang kau telah rentas itu.

Untuk mu pengunjung blog, izinkan aku menguruskan beberapa cabaran ketika ini. Insya-Allah, akan menyusul nanti entri yang lebih serius dan menjurus. Namun, sebelum berpisah terimalah dariku sekadar dua tulisan ini sebagai “selingan”.

Bagi mereka yang begitu beria-ria untuk ke hadapan… milikilah dulu jiwa yang kental. Sesungguhnya persediaan akan memantapkan bakat. Kesabaran akan meningkatkan minat. Menulis itu memerlukan keyakinan bukan hanya keringat!

i) PEDANG SAYIDINA ALI

Sayidina Ali punya pedang yang begitu digeruni oleh musuh-musuhnya. Pedang yang bernama Zulfaqar itu sentiasa dibawa bersamanya dalam peperangan-peperangan dengan orang kaum musyrikin. Dan setiap kali membawa pedang itu, Sayidina Ali berjaya mengalahkan musuhnya. Berita tentang kehebatan pedang itu sampai kepada seorang lelaki. Dia juga seorang pejuang Islam. Tertarik dengan berita kehebatan pedang itu, lelaki itu pun datang menemui Sayidina Ali dan berkata,” tolong pinjamkan aku pedang mu yang hebat itu.” Tanpa banyak bicara Sayidina Ali pun meminjamkan pedang itu kepada lelaki tersebut. Lelaki itu sangat gembira. Apabila sahaja terjadi peperangan, dia pun pergi dengan membawa pedang itu sekali. Dia ingin merasai sendiri kehebatan pedang Sayidina Ali itu.

Tidak lama kemudian perang pun tamat. Lelaki itu pulang dengan pedang yang dipinjamkan oleh Sayidina Ali itu. “Nah, ambillah kembali pedang ini,” katanya sebaik menemui Sayidina Ali. “Bagaimana, hebat tak pedang ini?” tanya Sayidina Ali. “Ah, biasa-biasa sahaja. Jika aku tahu begini, tak akan aku pinjam pedang ini daripada mu. Mengapa pedang ini tak sehebat yang diceritakan?” “Kau hanya meminjam pedang, tetapi kau tidak “meminjam” tangan yang memegang pedang itu!” kata Sayidina Ali.

Pengajaran:

Kekuatan utama manusia bukan kepada alat-alat yang digunakannya, tetapi pada dirinya sendiri. Teknologi yang canggih hanya akan membawa kebaikan jika manusia yang menggunakannya memiliki hati yang bersih dan fikiran yang bijak. Di tangan orang yang dungu, teknologi walau secanggih mana pun tidak akan dapat digunakan. Manakala di tangan orang yang jahat, teknologi hanya akan membawa seribu satu kejahatan dan kehancuran.

ii) MISKIN HARTA, MISKIN JIWA

Seorang pendakwah menasihati seorang pengemis yang kelihatan sihat dan kuat untuk kerja yang sangat mengaibkan itu. “Saudara ku, berhentilah daripada menjadi pengemis. Kau masih kuat dan sihat.” “Apa? Saudara rasa kerja mengemis tidak memerlukan tenaga? Dalam satu hari puas saya berjalan ke hulu, ke hilir untuk memohon simpati orang. Kalau saya tak kuat masakan saya dapat menahan panas, hujan dan pelbagai cabaran cuaca ini,” jawab pengemis. “Kerja mengemis ini hina. Hilang maruah diri.” “Siapa kata hina? Inilah kerja yang mulia. Saya menjadi sebab orang lain mendapat pahala. Kekadang saya juga mendapat pahala sabar bila orang caci saya. Pahala syukur bila orang memberi sedekah. Hinakah itu? Saya juga berdoa kepada orang memberi sedekah kepada saya. Hinakah?” Pendakwah terdiam. Dalam diam dia berdoa. Rupanya pengemis itu bukan hanya miskin harta tetapi miskin jiwanya. Alasan untuk malas sentiasa ada. Kreatif betul tipuan syaitan.

Pengajaran:

Malas adalah satu dosa. Ramai yang tidak nampak hakikat itu. Pelbagai alasan diberikan untuk malas termasuk atas hujah dan dalil agama. Kepalsuan yang bersalut kebenaran bukan sahaja mampu menipu orang lain, tetapi paling malang… menipu diri sendiri!

Jumaat, 12 Mac 2010 0 comments

Pengumuman: Seminar Gaya Hidup Sihat

BAHAYA PENGGUNAAN PLASTIK

Penggunaan plastik untuk membungkus makanan semakin popular kerana kelebihan yang ada padanya, contohnya tahan lama, teguh dan mudah digunakan, berbanding dengan pembungkus tradisional. Tidak hairanlah jika kita banyak bergantung kepada plastik sebagai satu bahan wajib dalam proses pembungkusan makanan, walaupun kaedah tradisional menggunakan sumber alam lebih murah harganya sehingga kita tidak menyedari bahaya plastik serta komponen-komponen kimia yang terkandung di dalamnya. Walaupun banyak maklumat disebarkan oleh pihak berwajib mengenai kesan kimia yang hadir akibat tindakbalas makanan dalam bahan pembungkusan namun disebabkan terlalu bergantung kepada plastik membuatkan sesetengah pihak, khususnya pengusaha makanan terpaksa mengabaikan kesannya dengan berharap agar bahan yang digunakan oleh mereka selamat.

Kandungan Kimia

Plastik yang dijadikan bahan pembungkus diperbuat daripada pelbagai bahan kimia seperti polietilina, polietilina terefatalat, propilina dan polivinil klorida. Selain itu, sejenis bahan pelembut (plasticizers) turut dimasukkan bagi membolehkan plastik yang hasilkan untuk pembungkusan ini bertekstur licin dan mudah dilentur atau dibentuk dalam pelbagai bentuk yang menarik. Bahan pelembut ini kebanyakannya terdiri daripada kumpulan phthalate. Manakala yang lainnya bergantung kepada jenis plastik, termasuk bahan pelekat yang digunakan dan dakwat untuk menandakan nama pengeluar.

Oleh itu, semua bahan kimia yang hendak digunakan untuk menghasilkan plastik pembungkus itu sendiri secara amnya perlu mendapat pengesahan daripada pihak berwajib sebelum boleh digunakan. Kebenaran untuk menggunakan hanya dapat diperoleh sekiranya bahan kimia yang hendak digunakan ini telah dapat disahkan sebagai selamat dan digunakan pada kadar yang telah ditetapkan. Paling penting, bahan kimia dan kadar penggunaannya tidak boleh mengakibatkan kanser kepada pengguna.

Kesan Yang Dialami

Secara amnya, tiada sebarang masalah dengan plastik pembungkus. Masalah hanya timbul jika plastik pembungkus itu diperbuat daripada PVC. Plastik pembungkus jenis ini didapati mengeluarkan bahan pelembut DEHA ke dalam makanan. Persoalannya, apakah makanan seperti itu dapat membahayakan ataupun tidak? Perkara ini dibangkitkan selepas satu kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pengguna di Amerika Syarikat pada tahun 1998 mendapati terdapat bahan kimia DEHA di dalam keju yang dibungkus dalam plastik pembungkus yang diperbuat daripada PVC.

Kandungan DEHA yang dikenal pasti itu didapati berada pada kepekatan yang tinggi, iaitu lebih kurang 300,000 kali ganda had yang ditetapkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat.

Namun sehingga kini kesannya kepada pengguna masih belum dapat dipastikan. Tetapi daripada data kajian yang dijalankan terhadap haiwan, DEHA berupaya merosakkan sistem peranakan dan menghasilkan janin yang cacat, selain mengakibatkan kanser hati walaupun perkara yang sama tidak ditemui pada tikus.

DEHA didapati mempunyai aktiviti yang menyamai sejenis hormon estrogen (dianggap sebagai hormon wanita kerana mampu memberikan sifat-sifat kewanitaan). Namun kesan sebenarnya masih belum diselidiki sepenuhnya. Maklumat yang diperoleh daripada haiwan kajian, walaupun mungkin tidak boleh dikaitkan secara langsung kepada manusia, boleh menjadi satu petunjuk tentang apa yang mungkin terjadi kepada manusia. Ini adalah langkah pertama dalam usaha kita untuk menentukan sejauh mana phthalates selamat digunakan oleh manusia.

Langkah keselamatan

Walaupun tiada bukti kukuh untuk menghubungkan DEHA dalam makanan dengan gangguan kesihatan, kita perlu berwaspada dan seboleh-bolehnya mengelakkan penggunaannya secara meluas. Beberapa negara, contohnya Britain, telah mengkaji semula perkara ini dan mendapati bahawa masalah ini dapat dikurangkan dengan penggunaan bahan pelembut mengurangkan penyerapan DEHA ke dalam makanan.

Di Eropah, Suruhanjaya Eropah telah menetapkan had kandungan DEHA yang dibenarkan menyerap ke dalam makanan sebanyak 18 bahagian bagi setiap juta bahagian. Makanan yang mengandungi DEHA melebihi paras ini dianggap tidak selamat untuk dimakan. Penetapan had ini dilakukan berdasarkan hasil kajian dan piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan Eropah yang menggalakkan penggunaan DEHA dikurangkan sama ada dengan dicampurkan atau digantikan terus dengan bahan pelembut lain.

Sekiranya boleh, anda digalakkan untuk menggunakan plastik pembungkus yang tidak mengandungi bahan pelembut. Ini mungkin sukar kerana kita sebenarnya tidak tahu sejauh mana bahan pelembut digunakan dalam plastik pembungkus. Namun begitu, ada beberapa plastik pembungkus yang dikatakan tidak mengandungi bahan pelembut iaitu plastik pembungkus yang diperbuat daripada polietilina atau bekas plastik yagn digunakan di rumah seperti jenama Tupperware. Satu cara lagi untuk memastikan plastik itu daripada jenis PVC atau tidak, adalah dengan melihat di bawah bekas plastik yang biasanya mempunyai beberapa tanda tulisan seperti berikut:

PET (polietilina terefatalat)

* PETE atau PET (polyethylene terephthalate) biasa dipakai untuk botol plastik yang jernih/transparan/tembus pandang seperti botol air mineral, botol jus, dan hampir semua botol minuman lainnya. Botol-botol ini direkomenkan hanya untuk sekali pakai sahaja. Jangan pakai untuk air suam atau panas. Sebaiknya selepas diguna pakai, buang saja ke tong sampah.

HDPE (polietilina ketumpatan tinggi)

* HDPE (high density polyethylene) biasanya diguna untuk botol susu yang berwarna putih susu. Ia hanya untuk sekali pakai sahaja, tidak boleh diguna pakai kali yang kedua.

PVC (polivinil klorida yang dirawat dengan bahan pelembut DEHA)

* V atau PVC (polyvinyl chloride) adalah plastik yang biasa dijumpai pada plastik pembungkus (cling wrap), dan botol-botol. Kandungan dari PVC iaitu DEHA yang terdapat pada plastik pembungkus boleh bocor dan masuk ke dalam makanan yang berminyak bila dipanaskan. PVC berpotensi berbahaya untuk ginjal, hati dan berat badan.


LDPE

* LDPE (low density polyethylene) biasa diguna pakai untuk tempat makanan dan botol-botol yang lembek. Barang-barang dengan kode LDPE baik untuk yang memerlukan fleksibilitas tetapi kuat. Barang dengan LDPE biasanya tidak dapat di hancurkan tetapi tetap baik untuk tempat makanan.


PP (polipropilina)

* PP (polypropylene) adalah pilihan terbaik untuk bahan plastik terutama untuk yang berkaitan dengan makanan dan minuman seperti tempat menyimpan makanan, botol minuman dan yang paling penting botol minum untuk bayi. Karakteristik adalah biasa botol transparan yang tidak jernih atau berawan. Cari simbol ini bila anda membeli barang berbahan plastik.


PS (polistrin)

* PS (polystyrene) biasa dipakai sebagai bahan tempat makan styrofoam, tempat minum sekali pakai, dll. Bahan Polystyrene boleh membocorkan bahan styrine ke dalam makanan ketika makanan tersebut bersentuhan. Bahan Styrine berbahaya untuk otak dan sistem syaraf. Selain tempat makanan, styrine juga boleh didapati dari asap rokok, asap kendaraan dan bahan konstruksi gedung. Bahan ini harus dihindari dan banyak negara sudah melarang pemakaian tempat makanan berbahan styrofoam termasuk negara China.


OTHER
Other mempunyai 4 jenis, iaitu

1. SAN – styrene acrylonitrile
2. ABS - acrylonitrile butadiene styrene
3. PC - polycarbonate
4. Nylon

Plastik dengan jenis 7 iaitu SAN dan ABS merupakan salah satu bahan plastik yang sangat baik untuk digunakan dalam kemasan makanan ataupun minuman. SAN dan ABS memiliki resistensi yang tinggi terhadap reaksi kimia dan suhu, kekuatan, kekakuan, dan tingkat kekerasan yang telah ditingkatkan. Biasanya terdapat pada mangkuk mixer, pembungkus termos, piring, alat makan, penyaring kopi, dan sikat gigi, sedangkan ABS biasanya digunakan sebagai bahan mainan lego dan pipa.

PC pula dapat ditemui pada botol susu bayi, gelas anak batita (sippy cup), botol minuman polikarbonat, dan bekas kemasan makanan dan minuman, termasuk bekas susu formula. Pada plastik PC dapat mengeluarkan bahan utamanya iaitu Bisphenol-A ke dalam makanan dan minuman yang berpotensi merosakkan sistem hormon, kromosom pada ovarium, penurunan produksi sperma, dan mengubah fungsi imunitas. Dianjurkan tidak digunakan untuk tempat makanan ataupun minuman.

Selain itu, anda juga boleh menggunakan bahan pembungkus seperti daun pisang yang sudah dibersihkan dan disalai. Namum bahan pembungkus seperti ini biasanya tidak tahan lama dan kurang praktikal, selain sukar didapati.

Tindakbalas Dakwat Berplumbum

Cara penggunaan juga sering menimbulkan masalah. Sebagai contoh, plastik pembungkus yang telah digunakan disimpan dan digunakan semula untuk membungkus makanan. Dalam proses membungkus makanan, pengguna mungkin membalikkan plastik pembungkus supaya bahagian luar akan diletakkan di bahagian dalam. Dalam keadaan ini, makanan mungkin akan bersentuhan dengan label yang mengandungi dakwat berplumbum. Penyimpanan makanan yang berasid lemah seperti buah limau yang sudah dikupas sudah cukup untuk mengeluarkan plumbum (100 mikrogram plumbum dalam masa 10 minit) daripada dakwat. Walaupun kandungan plumbum yang diserap masuk ke dalam makanan mungkin tidaklah begitu tinggi namun sekiranya makanan yang sedemikian dimakan setiap hari, kesannya sudah cukup untuk menjejaskan kesihatan seseorang. Walaupun ini mungkin tidak berlaku kepada orang dewasa, tetapi ia sudah cukup untuk memberikan kesan kepada janin, bayi dan kanak-kanak yang sememangnya diketahui lebih sensitif terhadap pendedahan plumbum pada kepekatan yang rendah. Justeru itu, ibu yagn hamil haruslah berhati-hati dalam perkara ini supaya masalah sedemikian tidak dialami pada janin yang dikandung.

Selain itu, kebanyakan plastik yang dibuat sebelum adanya ketuhar gelombang mikro direka dengan mempunyai ketahanan pada suhu yang tinggi tetapi masih tidak mampu untuk memberi ketahanan yang sewajarnya sekiranya dikenakan suhu dalam ketuhar gelombang mikro yang biasanya antara 400 darjah Fahrenheit hingga 500 darjah Fahrenheit. Justeru itu, pengeuraian akan berlaku sekiranya suhu yang tinggi dikenakan kepada barang plastik berkenaan. Komponen lapisan polietilina terephalate (PET) akan bergerak lebih jauh daripada yang dijangkakan. Keadaan ini akan mengakibatkan berlakunya retakan pada lapisan PET, dan ini membolehkan bahan-bahan pelekat yang terdapat pada bekas plastik berkenaan serta bahan kimia terurai dan menyerap masuk ke dalam makanan. Sekiranya terdapat bahan yang mudah terbakar seperti kertas, keadaan ini akan menghasilkan debu yang dapat memasuki makanan dan mengakibatkan makanan berkenaan kurang sesuai untuk dimakan.

Oleh yang demikian, hindari penggunaan plastik apapun di Microwave. Gunakan bahan keramik, gelas atau pyrex sebagai ganti. Bahan plastik juga tidak boleh dibuang sembarangan terutama yang mengandungi Bisphenol-A kerana bahan tersebut boleh mencemari tanah yang pada akhirnya boleh mencemari air yang kita guna sehari-hari.

Sumber Prof. Madya Rahmat Awang Pusat Racun Negara, USM