Sabtu, 22 Ogos 2009

Natijah Kehebatan Bulan Ramadhan



Allah menyatakan bahawa tujuan kita berpuasa ialah untuk meningkatkan ketaqwaan kita pada Allah. Jadi, sebenarnya Ramadhan membentuk seseorang itu menjadi orang yang bertaqwa. Makna taqwa ialah kehebatan.

Kesempatan kali ini, mari kita bincangkan, apakah yang kita akan jadi, jika benar-benar berpuasa dan menuruti madrasah Ramadhan ini.

1. Ramadhan melahirkan orang yang cintakan Allah

Kenapa kita berpuasa? Bukan kerana budaya, bukan kerana terpaksa, bukan sebab malu. Kita berpuasa kerana Allah perintahkan kita berpuasa dan kita sebagai hambanya ingin sekali cuba mentaati perintahnya ini.

Jadi, puasa akan menyebabkan kita semakin mengingati Allah. Kelebihan orang yang berpuasa dan mengingati Allah ini, Allah akan ampunkan dosanya yang telah lalu. Di dalam hadith, Nabi saw telah menyatakan bahawa:-

Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan di dalam keadaan beriman dan mengharap-harapkan (janji Allah) maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu (Hadith Riwayat al-Bukhari)

2. Ramadhan akan melahirkan orang yang mencintai Nabi saw.

Terkenang kita pada Nabi yang sentiasa menunjukkan kita jalan untuk pulang ke akhirat dengan selamat. Sebab itu di dalam hadith, Nabi saw menyatakan bahawa:-

Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mendirikan solat dan berpuasa pada bulan Ramadhan, maka sungguhlah bagi Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga (HR Bukhari)

3. Ramadhan akan melahirkan kita mencintai saudara seIslam kita.

Kita akan berusaha membantu dan mengasihi saudara seIslam kita. Di dalam hadith, Nabi saw menyatakan bahawa:-

Dan barangsiapa yang menunaikan hajat saudaranya yang Muslim pada bulan Ramadhan, Allah Taala akan menunaikan seribu hajatnya pada hari kiamat.

Walaupun, status hadith ini agak lemah, tetapi untuk merangsang kita beramal, ia boleh dibacakan untuk renungan.

Di dalam hadith yang lain Nabi saw menyatakan:-

Tidak sempurna iman kamu hingga kamu mengasihi saudara kamu seperti mana kamu mengasihi saudara kamu sendiri.

4. Ramadhan akan melahirkan orang yang hebat akhlaknya.

Ini kerana, banyak hadith mengenai kelebihan akhlak di dalam bulan Ramadhan. Di dalam hadith, Nabi saw menyatakan bahawa:-

Adalah Rasullullah saw orang yang paling pemurah dan adalah baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan (HR Bukhari)

5. Ramadhan melahirkan orang yang hebat ibadahnya

Ramadhan bulan ibadah. Ia akan membentuk seseorang itu hebat ibadahnya kerana banyak kelebihan amalan pada bulan Ramadhan ini.

Di dalam hadith, Nabi saw menyatakan bahawa:-

Maka apabila Ramadhan hendaklah kamu melakukan umrah kerana sesungguhnya Umrah pada bulan Ramadhan menyamai pahala haji (HR Muslim)

Nabi sendiri, di bulan Ramadhan menyatakan bahawa:-

sesungguhnya mataku tidur tetapi hatiku tidak tidur (HR Muslim)

6. Ramadhan akan melahirkan orang yang hebat berjuang

Ramadhan tidak melemahkan semangat seseorang dan tidak akan menyebabkan seseorang itu merasa tidak berdaya. Banyak peperangan berlaku pada bulan Ramadhan dan Islam menang.

Jika zaman sekarang, orang yang berjuang di dalam mana-mana bidang sekalipun, dia akan menggandakan usahakan kerana di bulan Ramadhan, berjuang menggandakan pahala.

Di dalam hadith, menyatakan :-

Rasullullah saw keluar berperang pada bulan Ramadhan ke peperangan Hunain (HR Bukhari)

7. Ramadhan akan melahirkan orang yang sentiasa meningkatkan dirinya

Setiap orang mempunyai kelemahan diri. Yang paling terbaik ialah orang yang sentiasa meningkatkan dirinya. Rangsangan meningkatkan diri inilah yang dibentuk di dalam bulan Ramadhan. Di dalamhadith, Nabi saw menyatakan bahawa:-

Pada bulan Ramadhan dibuka pintu langit dan ditutup pintu neraka dan dirantai semua syaitan yang ingkar dan menyerulah malaikat penyeru, wahai yang meminta kebaikan besegeralah dan wahai yang gemar pada maksiat berhentilah (HR Tarmizi)

Sesungguhnya Ramadhan menjadikan kita semakin hebat, sebenar-benar kehebatan apabila kita hebat di dunia dan di akhirat

“Bicara Ilmu, Bicara Kecemerlangan”

0 comments:

Catat Ulasan