Syurga rumah tangga itu fitrah hati
Naluri nurani yang pinta diisi
Kerananya dara rela diperisteri
Kerananya jejaka rela menjadi suami
Masing-masing dengan harapan
Agar rumahtangga membawa kebahagiaan
Matlamat yang satu tapi jalannya berliku
Destinasi sama, kaedah berbeza
Ada yang mengatakan
Bahagia itu pada harta…
Diukir oleh intan permata
Tak kurang yang merasakan
Bahagia itu pada rupa…
Ditempa oleh wajah nan rupawan
Sesetengahnya berkeyakinan
Bahagia itu pada kemasyhuran
Dibaja dek gelar dan nama
Ramai juga yang merasakan
Bahagia itu pada kuasa
Dituai oleh pangkat dan jawatan
Pelbagai jalan menimbulan dilemma
Mencari yang benar, mempelai tersasar
Kalaulah bahagia itu pada harta…
Kalaulah bahagia itu pada nama…
Kalaulah bahagia itu pada rupa…
Kalaulah bahagia itu pada kuasa…
Kenapa Charles dan Diana berpisah?
Kenapa Elvis dan Priscilla berpecah?
Kenapa Onasis dan Jackie bertelagah?
Rupanya…
Bahagia itu dari dalam diri
Kesannya zahir, rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di dasar hati
Terbenam bagai mutiara di laut nurani
Bahagia itu pada hati
Bertakhta di kerajaan diri
Bahagia itu pada jiwa
Mahkota di singgahsana rasa
Bahagia itu pada kesabaran…
Bila susah tak gelisah
Bila miskin tak pemarah
Bila sakit tak gundah
Bila gagal tak resah
Oh, suamiku, “Innalillah”
Bila kaya pemurah
Bila berkuasa amanah
Bila berjaya tak alpa
Bila sihat beribadat
Oh, isteriku, “Alhamdulillah”
Hakikatnya bahagia itu ketenangan
Bila hati mengingati Tuhan
Firman Allah yang bermaksud :
“Ketahuilah dengan mengingati Allah itu memberi ketenangan pada hati.”
Suami isteri sama-sama mengerti
Maksud terseni takdir Ilahi
Itulah zikir yang hakiki!
Karya: Pahrol Mohamad Judi
0 comments:
Catat Ulasan